Kanak-kanak autistik ditemukan maut dalam parit disahkan akibat lemas

BAGAN DATUK – Polis mengklasifikasikan kes kanak-kanak lelaki autistik yang ditemui maut di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sungai Sumun dekat Hutan Melintang malam tadi sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan mengesahkan bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh lemas.

Menurutnya, tiada kecederaan berunsur jenayah ditemui pada badan kanak-kanak berusia enam tahun itu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang adalah seorang kanak-kanak istimewa (autisme) dan kali terakhir dilihat berada di ruang tamu rumah oleh bapanya.

“Selepas menyedari kehilangan mangsa, usaha pencarian telah dilakukan oleh ahli keluarga bersama penduduk setempat di sekitar kawasan rumah, namun tidak berjaya menemui mangsa.

“Pihak polis kemudiannya telah membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak serta dibantu oleh penduduk setempat.

“Pada hari yang sama, sekitar jam 10 malam, mangsa telah ditemui oleh pasukan SAR dalam keadaan terapung dan masih berpakaian lengkap di dalam sebuah parit, kira-kira 330 meter dari kediamannya.

“Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal mahupun petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah dan mayatnya telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki kurang upaya (OKU) Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah, 6, hilang selepas dipercayai keluar daripada rumahnya petang semalam sebelum ditemui meninggal dunia di dalam parit di dalam kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya malam tadi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak OKU hilang ditemui maut dalam parit kebun kelapa sawit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI