Karnival Kerjaya PUO tawar lebih 300 peluang kerja

IPOH – Lebih 300 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri ditawarkan sepanjang program Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO) 2023 yang diadakan di Dewan Jubli PUO, di sini, pada Rabu.

Karnival dua hari itu berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada pelajar dan alumni PUO serta pencari kerja di sekitar bandar raya Ipoh.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PUO, Dr Mohd Nor Azam Mohd Dali berkata penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO, di samping memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam industri.

Menurutnya, mereka juga berpeluang menghadiri temuduga bagi penempatan latihan industri atau mendapatkan pekerjaan.

Tambahnya, pemain industri berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi bagi tujuan penempatan latihan industri atau tawaran pekerjaan seterusnya mengukuhkan kolaborasi progresif antara mereka dan PUO.

“Kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri dilihat sebagai penyumbang penting kepada keberkesanan serta kemajuan institusi TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) memandangkan industri adalah penggerak utama kepada pembangunan ekonomi negara.

“Justeru, Jawatankuasa Penasihat Industri adalah platform kolaborasi terbaik bagi PUO dan industri untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing bagi tujuan penambahbaikan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam menghasilkan graduan berkualiti yang memenuhi keperluan industri dan guna tenaga negara.

“Kepentingan hubungan kolaborasi strategik rakan industri dengan PUO berjaya meningkatkan kualiti TVET untuk memacu Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu perasmian program Karnival Kerjaya PUO 2023 yang diadakan di Dewan Jubli PUO, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nor Azam berkata penglibatan serta kerjasama pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti mismatch (salah padan) atau latihan yang tidak diperlukan serta kemudahan yang tidak memuaskan.

“Kerjasama itu perlu dilaksanakan memandangkan negara bukan sahaja menyaksikan kadar pengangguran belia yang tinggi, malah turut terperangkap dalam situasi underemployement apabila gaji diterima tidak setimpal dengan kelayakan.

“Data menunjukkan, 90 peratus graduan TVET memperoleh pekerjaan, tetapi 90 peratus daripada jumlah itu hanya dibayar sekitar RM2,000 sebulan.

“Ini tidak boleh diterima dan pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan TVET ini menerima gaji melebihi RM2,000,” jelasnya.

Sebanyak 13 syarikat industri dan dua institusi pendidikan tinggi menyertai program selama dua hari yang bermula semalam.

Antara yang terlibat termasuklah Hovid Berhad, PwC Malaysia, Plexus Manufacturing Sdn Bhd, Tetra Pak (M) Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI