Karnival PSH Excellence perkasa kemahiran, keusahawanan masyarakat Lenggong

LENGGONG – Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong (KKGCL) terus memperkukuh peranan sebagai hab Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui pengajuran Karnival PSH Excellence @ Perak 2026.

KKGCL dalam satu kenyataan berkata, karnival yang dirasmikan Ahli Parlimen Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah turut memperkasa kemahiran, keusahawanan dan potensi ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, penganjuran karnival itu selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 yang memberi penekanan terhadap pengukuhan PSH, termasuk usaha meningkatkan kemahiran (upskilling) dan mempelajari kemahiran baharu (reskilling) bagi memastikan masyarakat kekal relevan dengan perubahan dunia pekerjaan.

“Sepanjang karnival, tujuh kursus pendek dilaksanakan merangkumi Seni Sulaman Kerawang 3D; Aplikasi Teknik Wow-Smartphone Fotografi Produk IKS Lenggong dan Tradisi Disanjungi-Adat Perak Diwarisi.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir ke Karnival PSH Excellence @ Perak 2026 anjuran Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong di Lenggong. Foto KKGCL.

“Turut ditawarkan kursus Gastronomi Pelancongan-Penghasilan Kebebe Lenggong; Hasilan Taufufa Homemade: Dari Dapur ke Pasaran; Ais Kepal MILO Viral dan Seni Penyediaan Kopi Barista,” katanya.

Tambahnya, kursus berkenaan memberi peluang kepada peserta mendapatkan kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, selain membuka ruang kepada mereka meneroka peluang menjana pendapatan menerusi kemahiran yang dipelajari.

Katanya lagi, karnival itu turut mengetengahkan GeoEntrepreneur Excellence Session menerusi The Apprentice: Business Pitching GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark serta Storytelling & Heritage Interpretation.

Sebahagian peserta kursus pendek yang dianjurkan Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong sempena Karnival PSH Excellence @ Perak 2026 di Lenggong. Foto KKGCL.

Menurutnya, seramai 300 kehadiran berjaya direkodkan sempena Karnival PSH Excellence @ Perak 2026 melibatkan pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), warga POLYCC, wakil jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin komuniti, peserta kursus pendek, juri serta tetamu jemputan.

“Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong akan terus komited membuka peluang kepada masyarakat di Gerik, Lenggong dan kawasan sekitar untuk meningkatkan kemahiran sedia ada, mempelajari kemahiran baharu serta memanfaatkan potensi setempat.

“Pendekatan itu diharap dapat membentuk masyarakat yang lebih berkemahiran, berdikari dan berdaya saing, di samping menjadikan Kolej Komuniti sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang dekat dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI