PARIT – Karnival Usahawan, Koperasi dan Jelajah YAKIN DUN Bota 2026 membuka ruang dan peluang kepada masyarakat serta usahawan menjana pendapatan, mempromosikan produk, memperluaskan jaringan perniagaan serta meningkatkan keyakinan dalam bidang keusahawanan.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota, Sarah Syazwani Saari berkata, buat julung kalinya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memilih Negeri Perak sebagai lokasi penganjuran.
Menurut beliau, malah karnival berkenaan turut digabungkan dengan Jelajah YAKIN yang merupakan program di bawah Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak yang bertujuan memberi penerangan secara menyeluruh kepada rakyat mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030 serta pelbagai dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri.

“Karnival ini menyasarkan kehadiran seramai 1,500 pengunjung dengan penglibatan pelbagai agensi di bawah KUSKOP serta Kerajaan Negeri Perak.
“Seramai 16 usahawan daripada KUSKOP dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak yang menyertai program ini dengan menawarkan pelbagai produk tempatan,” katanya ketika berucap pada karnival berkenaan di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota Kanan, di sini, pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Tambahnya, penganjuran Karnival Usahawan, Koperasi dan Jelajah YAKIN Dun Bota dilihat begitu signifikan kerana ia menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, institusi kewangan, koperasi, badan bukan kerajaan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara terus oleh rakyat.

Katanya, melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkukuh pembangunan ekonomi rakyat, memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana sebagai tulang belakang ekonomi tempatan.
“Melalui Jelajah YAKIN, rakyat bukan sahaja mendapat maklumat yang tepat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan negeri, malah dapat memahami bagaimana setiap perancangan tersebut memberi kesan secara langsung kepada kehidupan masyarakat.
“Pendekatan turun padang seperti ini amat penting kerana kerajaan bukan sahaja mahu melaksanakan dasar, tetapi juga memastikan rakyat benar-benar memahami, mengetahui dan mendapat manfaat daripada setiap inisiatif yang disediakan,” katanya. -MG Perak


