TANJUNG MALIM – Tindakan pantas seorang penyelia ladang menyelamatkan juruterbang dan pelatih pesawat Cessna 172N Skyhawk (9M-ADA) yang terhempas di kawasan ladang dalam Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai, dekat sini, 4 Mei lalu mendapat penghargaan polis.
Abdullah Abdul Talib, 37, adalah orang pertama yang tiba di lokasi nahas serta membantu dengan memeluk juruterbang yang berada dalam keadaan tergantung dan kakinya tersepit di kerusi selama satu jam sehingga bantuan tiba.
Surat penghargaan diterima Abdullah pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Muallim yang disampaikan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir hari ini.
Abdullah ketika ditemui bersyukur kerana diberi penghargaan tersebut dan itu adalah kali pertama dia menerimanya daripada polis.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon mengenai pemberian surat penghargaan tersebut pada Selasa lalu.
“Saya berasa syukur kerana dihargai namun tidak pernah berharap untuk menerima penghargaan ini. Terima kasih saya ucapkan. Perasaan saya juga bercampur baur hari ini, antaranya rasa gementar, gembira pun ada,” katanya.
Dia berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Muallim di Dewan Seri Muallim, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada Khamis.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, sehingga kini juruterbang yang diselamatkannya masih menghubunginya.
“Mereka (juruterbang) hendak berjumpa dengan saya tetapi saya kata tak payah kerana bagi mereka sembuh dan sihat sepenuhnya terlebih dahulu.
“Setakat ini, mereka masih berhubung dengan saya melalui aplikasi Whatsapp dan dia (jurulatih penerbangan) kata apabila sembuh dia nak berjumpa dengan saya,” jelasnya.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, peristiwa itu masih segar diingatannya kerana setiap hari dia melalui jalan sama yang merupakan laluan utama ladang tersebut.
“Saya rasa bersyukur dan kerana dapat membantu orang di dalam kesusahan. Sesiapa pun kalau berada di tempat saya pasti akan melakukan perkara sama,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Hasni berkata, kepantasan Abdullah memberi bantuan awal menghubungi polis secara tidak langsung dapat menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Katanya, ketika kejadian Abdullah, dia menyedari kejadian pesawat terhempas itu kerana sudah melepasi lokasi pesawat terhempas.
“Bagaimanapun, keputusannya untuk berpatah balik sambil merakam sekitar kawasan lokasi telah menemui mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut,” ujarnya.
Dalam nahas sekitar jam 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.
Kejadian berlaku sewaktu kedua-dua mangsa dari Akademi Penerbangan Layang-Layang itu sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas pesawat terhempas: Dua mangsa dibawa ke hospital
Abdullah terkejut jumpa bangkai pesawat terhempas, tersangkut celah pokok