Nahas pesawat terhempas: Dua mangsa dibawa ke hospital

IPOH – Dua mangsa pesawat ringan terhempas di Ladang Getah Upaya berhampiran Hutan Simpan, Gunung Besout, Trolak, di Tanjung Malim, pada Sabtu telah dibawa ke Hospital Slim River bagi menerima rawatan susulan.

Mangsa juruterbang dikenali sebagai, Shahrul Imran Surea, 26, sementara seorang penumpang perempuan, dikenali sebagai Ho Jia Lee, 20.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pesawat jenis Cessna 172 itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini, pada jam 7.54 pagi bagi tujuan latihan penerbangan dari sebuah syarikat swasta.

“Pesawat ringan itu telah terputus dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 9.38 pagi.

“Pada jam 9.55 pagi, bilik operasi akademi penerbangan swasta terbabit menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kemalangan udara itu.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dengan juruterbang mengalami patah kaki kiri sementara pelatih mengalami kecederaan pada muka,” katanya.

Pesawat terhempas dua mangsa dibawa ke hospital tanjung malim ipoh ketua polis perak
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada sidang media susulan insiden pesawat ringan terhempas di Tanjung Malim, pagi tadi.
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, Ulu Kinta, pada Sabtu.

Majis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Mohd Yusri memberitahu, berdasarkan kepada maklumat awal, pesawat ringan itu sedang melakukan penerbangan melalui laluan udara dari Ipoh menuju ke Tanjung Karang, Selangor dan akan berpatah balik ke Ipoh.

“Lokasi nahas merupakan kawasan hutan yang mana bangkai pesawat terbabit telah tersangkut pada pokok.

“Ekoran itu, pasukan polis sedang melakukan kawalan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada orang awam yang akan masuk ke situ (kerana khuatir akan mengganggu siasatan),” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan memaklumkan, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM telah diaktifkan susulan nahas itu.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya lagi – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua cedera pesawat ringan terhempas di Felda Gunung Besout

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI