Ingkar larangan beg plastik, lesen perniagaan boleh dibatalkan – Exco Perak

IPOH – Premis perniagaan yang dikesan berulang kali ingkar terhadap larangan pemberian dan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di negeri Perak boleh berdepan tindakan pembatalan lesen.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, tindakan itu boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas premis yang melakukan kesalahan berulang secara tegar.

Katanya, satu garis panduan sedang dimuktamadkan bagi menyeragamkan pelaksanaan tindakan dan penguatkuasaan di kesemua 15 PBT di negeri ini.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan pengeluaran notis amaran diikuti dengan tindakan kompaun.

“Bagi kes kesalahan berulang yang tegar, PBT boleh mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Perak sebelum ini meluluskan dasar larangan penuh pemberian dan pengunaan beg plastik jinjit sekali guna bermula 1 Mac 2026 dengan tempoh peralihan selama enam bulan bagi tujuan sebelum penguatkuasaan penuh bermula 1 September lalu.

Larangan berkenaan melibatkan pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian, farmasi serta premis berlesen di bawah kelolaan PBT.

Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, penguatkuasaan terhadap larangan berkenaan dilaksanakan menggunakan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan PBT.

“Kerajaan negeri telah giat melaksanakan Kempen Tiada Beg Plastik Jinjit Sekali Guna dengan slogan ‘Moh Guna Beg Sendiri!’.

“Melalui kempen ini, inisiatif pengedaran beg mesra alam secara percuma turut digerakkan sebagai satu bentuk galakan praktikal kepada rakyat untuk memulakan tabiat membawa beg sendiri dari rumah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pemantauan pihak berkuasa mendapati tiada kilang haram pengeluaran beg plastik dikesan beroperasi di Perak setakat ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, industri pembuatan plastik dan pembungkusan masih dibenarkan beroperasi bagi memenuhi keperluan sektor komersial serta perindustrian, termasuk pengeluaran beg pembungkusan beras dan hasil laut. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Larangan beg plastik pakai buang di Perak bermula 1 Mac 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI