BUKIT GANTANG – Usaha mengesan penyakit lebih awal perlu diperkasakan dengan membawa kemudahan pemeriksaan kesihatan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
Menyedari perkara itu, Klinik Kesihatan Sungai Kerang dengan kerjasama Klinik Kesihatan Trong mengambil inisiatif menganjurkan Program Komuniti ‘Nafas Lega, Gula Terkawal’ baru-baru ini.
Pengarah Program, Dr Sofiah Nazirah Mohd Ikhsan berkata, program bersempena Bulan Kesedaran Kesihatan Diabetes, Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) dan Pneumonia Peringkat Daerah Larut, Matang dan Selama itu berlangsung di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong.
Menurut beliau, penganjuran program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan pencegahan, pengesanan awal serta pengurusan penyakit diabetes, COPD dan pneumonia.
“Sebanyak 19 reruai dan perkhidmatan kesihatan disediakan dengan menawarkan pelbagai kemudahan pemeriksaan termasuk saringan kesihatan NHSI, PEKA B40, funduskopi, pendengaran, ultrasound, analisis indeks jisim badan (BMI) serta saringan HPV kanser serviks dan mamogram.
“Selain pemeriksaan kesihatan, masyarakat turut diberi pendedahan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan menerusi ceramah bertemakan ‘Diabetes – Kenali Awal, Bertindak Awal’ dan ‘Lindungi Diri & Keluarga – Vaksinasi!,” katanya.
Tambah beliau, beberapa aktiviti fizikal dan pendidikan praktikal turut diadakan menerusi jalan santai sejauh tiga kilometer, senamrobik, chairobic, pertandingan mewarna serta demonstrasi bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).
Katanya, menerusi penganjuran itu masyarakat diseru mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala, mengelakkan tabiat merokok dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai langkah membudayakan pencegahan penyakit. -MG Perak



