IPOH – Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti dan merizabkan sebidang tanah seluas hampir 4.45 hektar di Meru di sini bagi cadangan pembangunan sebuah pusat konvensyen dan pameran baharu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng Shy Ching berkata, cadangan pembangunan itu merupakan langkah awal kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan lebih lengkap dan bersesuaian dengan keperluan industri penganjuran acara.
“Kerajaan negeri telah beberapa kali menerima maklum balas daripada pemain industri serta penganjur acara dan pameran mengenai keperluan menyediakan kemudahan yang lebih sesuai bagi penganjuran ekspo, pameran perdagangan dan persidangan berskala besar di Perak.
“Ini adalah langkah awal yang penting dalam usaha merealisasikan pembangunan tersebut. Aspek berkaitan konsep pembangunan, model pelaksanaan, keperluan pembiayaan dan kemudahan sokongan perlu diteliti serta diperincikan sebelum projek dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pinji) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sandrea menjelaskan bahawa kewujudan pusat konvensyen dan pameran yang lebih lengkap berpotensi meningkatkan keupayaan Perak untuk menarik lebih banyak penganjuran ekspo, persidangan serta acara berskala besar.
“Penganjuran acara sedemikian mampu membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor, termasuk perhotelan, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, industri makanan dan perkhidmatan tempatan.
“Oleh itu, cadangan ini bukan sekadar pembangunan sebuah kemudahan baharu, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memperkukuh daya tarikan Ipoh sebagai destinasi penganjuran acara dan merancakkan aktiviti ekonomi negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Sandera memaklumkan setakat ini terdapat dua lokasi utama yang sering menjadi pilihan bagi penganjuran pelbagai acara iaitu Ipoh Convention Centre (ICC) dan Stadium Indera Mulia.
Katanya, berdasarkan rekod Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), bilangan tempahan acara di ICC meningkat daripada penganjuran lapan acara pada tahun 2024 kepada 16 acara pada tahun 2025, dan seterusnya 24 acara bagi tahun 2026 setakat ini.
“Acara yang dianjurkan merangkumi pameran, ekspo, persidangan, seminar, majlis rasmi, jamuan serta program pendidikan dan akademik.
“Antara peningkatan yang ketara ialah kategori seminar, bengkel dan persidangan, daripada satu acara pada tahun 2025 kepada enam acara pada tahun 2026. Program pendidikan dan akademik juga meningkat daripada dua kepada lima acara dalam tempoh yang sama.
“Bagi Stadium Indera Mulia pula, sebanyak 31 acara direkodkan pada tahun 2023, 23 acara pada tahun 2024 dan 27 acara pada tahun 2025, manakala 6 acara direkodkan bagi tahun 2026 setakat ini.
“Antara penggunaan utama stadium ialah pameran dan ekspo, jamuan, kejohanan sukan serta pelbagai program lain. Pameran dan ekspo merupakan antara kategori tertinggi, dengan 13 acara pada tahun 2023, lapan pada tahun 2024 dan 10 pada tahun 2025,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


