IPOH – Perak mempergiat usaha menjadikan masjid sebagai pusat literasi digital komuniti menerusi pelbagai inisiatif termasuk projek Masjid Pintar dan penganjuran bengkel kecerdasan buatan (AI), khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta agensi berkaitan termasuk Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak).
Katanya, inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan itu merangkumi tiga teras utama, di samping ia selaras dengan Agenda Pendigitalan di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memperkasakan institusi masjid (agar ia) bukan sahaja (boleh berfungsi) sebagai pusat ibadah, malah sebagai hab penyatuan ummah, pengembangan ilmu dan pemangkin literasi digital komuniti.
“Antara inisiatif yang telah dimulakan ialah perpustakaan digital masjid di Masjid An-Nur Kampar yang dilengkapi komputer dan akses internet bagi menggalakkan budaya ilmu serta pembelajaran digital dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Dr Mohamad Yusri meminta penjelasan kerajaan negeri berkenaan usaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu dan literasi teknologi komuniti agar dapat dimanfaatkan komuniti setempat khususnya belia, pelajar dan usahawan kecil.
Saarani yang juga Exco Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi Dan GLC berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan projek rintis Masjid Pintar atau ‘Smart Masjid’ berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) selain memperluas capaian jalur lebar di masjid yang berada di luar bandar.
“Kerajaan negeri juga sedang memperluas kerjasama strategik antara pengurusan masjid dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Kementerian Komunikasi, institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat bagi memperkukuh literasi teknologi, termasuk melalui bengkel berkaitan AI,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penggunaan teknologi berteraskan nilai dan etika Islam, termasuk penerokaan penggunaan AI oleh JAIPk dalam penyampaian perkhidmatan agama serta pengurusan jaringan maklumat.
Selain agenda pendigitalan, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui JAIPk turut memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat kebajikan serta khidmat komuniti menerusi program pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
“Program kesejahteraan komuniti turut merangkumi pemeriksaan kesihatan asas, kesedaran penjagaan kesihatan, aktiviti kesukarelawanan, gotong-royong serta sokongan sosial kepada warga emas, orang kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah.
“Antara inisiatif yang turut dilaksanakan ialah Program Kitar Semula Masjid Negeri Perak, melibatkan pembekalan tiga unit tong kitar semula kepada 36 buah masjid di seluruh negeri di bawah peruntukan pelbagai Menteri Besar Perak,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Belanjawan 2027: Perak naikkan peruntukan baik pulih, bina masjid, surau kepada RM18 juta


