IPOH – Bilangan rujukan mangsa keganasan rumah tangga kepada kaunselor di Perak meningkat tiga kali ganda kepada 24 kes sehingga Oktober tahun ini berbanding lapan pada 2025.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, situasi tersebut jelas menunjukkan kepentingan untuk memperkukuh perkhidmatan kaunseling, sokongan psikososial serta program intervensi dan pemulihan mangsa, di samping perlindungan dan penguatkuasaan undang-undang.
Menurut Salbiah, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,773 kes bagi kategori jenayah terhadap wanita dan kes berkaitan direkodkan di Perak sepanjang tahun 2025, manakala 1,193 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
“Apa yang perlu diberikan perhatian ialah keganasan rumah tangga kekal sebagai kategori tertinggi, dengan 1,112 kes pada tahun 2025 dan 627 kes sehingga Oktober tahun ini, merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan kes bagi kedua-dua tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan S. Wasanthee (PH-Hutan Melintang) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Tambah Salbiah, khususnya di Hutan Melintang dan Bagan Datuk, sebanyak 78 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada tahun 2025, manakala 50 kes direkodkan berdasarkan statistik semasa tahun 2026.
“Dari aspek intervensi dan perlindungan, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh Perak, sebanyak 29 rekod perkhidmatan berkaitan pelaksanaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] dicatatkan pada 2025.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 pula, sebanyak 51 rekod perkhidmatan dicatatkan, melibatkan 16 khidmat nasihat, 24 rujukan kepada kaunselor, enam perintah perlindungan dan empat rujukan kepada agensi lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu berkata, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa usaha melindungi wanita daripada keganasan perlu bergerak seiring dengan usaha pendayaupayaan wanita.
Jelas beliau, sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2027 semalam, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan baharu yang dikhususkan bagi pelaksanaan program intervensi dan pendayaupayaan wanita melalui Halaman Suri Sejahtera, di bawah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW).
“Pada masa ini, Halaman Suri Sejahtera di Ipoh turut menyediakan khidmat kaunseling berkelompok bagi membantu wanita mendapatkan sokongan emosi serta mengenal pasti keperluan bantuan susulan.
“Melalui peruntukan baharu ini, Kerajaan Negeri berhasrat memperkukuh program intervensi dan pendayaupayaan bagi meningkatkan pengetahuan wanita mengenai hak mereka, keupayaan mengenal pasti risiko keganasan serta keyakinan untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan,” katanya.
Katanya lagi, ini penting kerana kebergantungan ekonomi, tekanan emosi dan ketiadaan sistem sokongan boleh menyukarkan wanita untuk keluar daripada persekitaran keganasan. -MG Perak


