Kejayaan MCA di PRN Johor, Negeri Sembilan bukan ‘ukuran mutlak’ di Melaka

IPOH – Kejayaan MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan yang lalu perlu  dijadikan panduan, bukannya ukuran mutlak dalam menghadapi PRN Melaka akan datang dengan faktor kenegerian, prestasi kerajaan serta tahap keyakinan pengundi perlu diberi perhatian.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sokongan yang diterima pengundi di kedua-dua negeri itu perlu diterjemahkan sebagai satu tanggungjawab untuk parti terus melakukan penambahbaikan.

“Kita ucapkan terima kasih atas sokongan. Tapi saya rasa kita masih ada banyak ruang lagi untuk memperbaiki.

“Setiap negeri mungkin ada senario yang berlainan, ada isu yang berlainan dan melihat ciri-ciri kenegerian itu mungkin adalah berlainan.

“Tetapi untuk dua negeri ini kita mendapat satu sokongan daripada pengundi, tetapi ia masih lagi banyak ruang yang boleh kita perbaiki. Kita tidak boleh terlalu ghairah dengan kemenangan, tapi itu sebagai bermulanya tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Negeri Perak di MH Hotel yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak di MH Hotel, pada Ahad

Hadir sama, Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, perkembangan MCA di Johor yang menyaksikan parti itu meningkat daripada tidak mempunyai kerusi kepada empat sebelum berkembang kepada lapan kerusi merupakan satu proses secara berperingkat dan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.

“Macam di Johor, daripada kosong jadi empat tempat, jadi lapan. Ini sebagai satu motivasi secara berperingkat, secara berfasa. Tak mungkin dalam sekelip mata kita menang balik. Kita kena praktikal,“ ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata kejayaan MCA memenangi dua kerusi di Negeri Sembilan selepas 13 tahun tidak berada dalam kerajaan negeri turut didorong kerjasama dengan parti komponen BN.

“Di Negeri Sembilan, kita sudah 13 tahun tidak berada dalam kerajaan negeri. Tiba-tiba kita menang dua dan ini disebabkan berkat usaha bersama dengan parti komponen BN yang dapat kita terjemahkan dalam perbuatan.

“Jadi kita kena mulakan daripada kosong kepada dua, bagaimana kita nak apa mentadbir negeri dengan baik dan akhirnya kita mempunyai kekuatan sendiri bersama untuk kita memperkukuhkan kerajaan negeri. Saya rasa ini yang paling penting,“ jelasnya

Katanya,pencapaian tersebut perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab besar kepada parti, selain memerlukan usaha berterusan serta perancangan politik yang teliti bagi menghadapi perjalanan untuk kembali memperkukuhkan kedudukan MCA.

Mengulas mengenai faktor sokongan rakyat, beliau berkata prestasi kerajaan dan keyakinan rakyat menjadi antara perkara yang perlu dinilai dari semasa ke semasa kerana sokongan pengundi tidak semestinya kekal secara konsisten.

“Dia (kerajaan) kuat kerana memang rakyat yakini. Kenapa yakini? Kerana ada prestasi. Ini kesemuanya rakyat tengok. Dia tak semestinya secara konsisten barangkali boleh ubah setelah beberapa bulan. Jadi kita kena menilai dari masa ke semasa,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kemenangan BN di Negeri Sembilan cetus isyarat baharu, tidak tolak kerjasama dengan PN diteruskan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI