IPOH – Perayaan Krismas pada tahun ini memberi pengertian cukup bermakna buat Darson Savariar, 59, sekeluarga apabila dapat menyambutnya di rumah baharu mereka di Taman Lim, di sini.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu baru sahaja berpindah ke rumah tersebut kira-kira dua bulan lalu.
MG Perak berkesempatan menemui keluarga Darson dan mendapati persiapan yang dilakukan untuk sambutan Krismas esok cukup cantik dan bersederhana dengan pokok Krismas dilengkapi hiasan termasuk lampu berwarna warni yang dipasang di sekitar rumah mereka.
Darson bersama isteri, Jamunah Munisamy, 50, serta anak-anak mereka, Shamielaa Darson, 23; Liynesh Darson, 19; Tanujaa Darson, 17, serta rakan-rakan anak lelaki mereka turut mendendangkan lagu ‘Jingle Bells’ sebagai persiapan untuk dinyanyikan pada malam ini.
Menurutnya, sudah menjadi tradisi perayaan yang diraikan setiap 25 Disember itu disambut bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
“Tahun ini sambutan krismas sangat meriah kerana anak-anak saya semua pulang bercuti dan kami dapat meraikannya di rumah baharu.
“Anak sulung saya pula diberi tanggungjawab untuk membuat kuih muih dan biskut Almond London menjadi juadah wajib yang akan menjadi rebutan sesiapa sahaja yang berkunjung rumah kami.
“Setiap tahun, saya dan adik beradik akan menetapkan giliran untuk menjadi tuan rumah supaya semua ahli keluarga berkumpul untuk menyambut perayaan ini bersama-sama.
“Kebetulan, tahun ini giliran saya menjadi tuan rumah. Jadi, saya akan memanfaat masa terluang untuk bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai bagi meraikan perayaan ini,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Taman Lim, pada Ahad.
Menyentuh aktiviti yang dilakukan pada malam sehari sebelum perayaan Krismas, Darson berkata, mereka sekeluarga akan ke gereja dan kemudiannya menunggu ahli keluarga lain untuk datang berkumpul di rumah.
“Dua, tiga hari sebelum Krismas, rumah kami sangat sibuk dengan kehadiran kawan-kawan anak serta rakan-rakan saya.
“Malam ini, adik beradik saya akan datang untuk memeriahkan lagi suasana dan kami akan hidangkan beriani untuk mereka menjamu selera.
“Esok pada hari Krismas, rakan-rakan yang lain akan turut serta. Memandangkan saya pesara tentera, sahabat saya ramai orang Melayu dan dalca kambing akan menjadi menu untuk tetamu yang berkunjung ke rumah,” ujarnya.
Darson turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakyat Malaysia khususnya yang beragama Kristian.
“Semoga perayaan pada tahun ini akan lebih baik dari tahun lepas,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rakyat tanpa sempadan bangsa jadi identiti, keunikan Malaysia