Rakyat tanpa sempadan bangsa jadi identiti, keunikan Malaysia

TANJUNG MALIM – Rakyat tanpa mengira sempadan bangsa, membuktikan perbezaan kaum dan agama yang menjadi identiti dan keunikan Malaysia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada kelangsungan sebuah negara yang warganya sentiasa dirahmati dengan sikap toleransi dan hormat menghormati.

Menurutnya, rakyat Malaysia cukup bertuah kerana masih dapat merasai nikmat keamanan dan kerukunan sedangkan banyak negara di dunia sedang berantakan dan berlaku perpecahan akibat bahana peperangan.

“Seharusnya kita mengambil pengajaran daripada situasi dunia yang sarat dengan kekacauan dan ketidakstabilan.

“Bersyukur dalam erti kata menghargai keamanan dan sedaya upaya menghindari perpecahan. Ketahuilah akan hakikat bahawa perpaduan yang disemai dalam kalangan warga sedari kecil sehingga menginjak dewasa, menjadi kunci kepada kerukunan hidup meskipun dilanda pelbagai ujian dan dugaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Dewan Sri Tanjung, di sini hari ini.

Rakyat tanpa sempadan bangsa jadi identiti, keunikan Malaysia
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Sambutan Deepavali 2023 Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Sri Tanjung, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 NOVEMBER 2023.

Dalam pada itu, Saarani berkata, ikatan perpaduan turut diuji dalam dunia digital tanpa sempadan hanya melalui satu hantaran di media sosial yang boleh mencetuskan prasangka dan kebencian sehingga wujud permusuhan.

“Oleh yang demikian, jadikanlah cetusan dunia digital hari ini untuk kita menyemai bibit-bibit kasih sayang supaya kita sentiasa terbuka hati untuk lebih menyelami semangat tolak ansur dan hormat menghormati.

“Sesungguhnya, kita sedang hidup dalam dunia yang bergumpal dengan cabaran yang mesti dihadapi dengan semangat perpaduan dan kekitaan,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani menyeru supaya rakyat bersama-sama menyuburkan nilai-nilai kebaikan dengan menggembleng usaha membina kesatuan.

“Marilah kita menghakis nilai-nilai kejahatan untuk menolak anasir yang memecahbelahkan. Tidak ada jalan lain untuk membina kerukunan, selain bermuafakat melata persefahaman dan persaudaraan,” jelasnya.

Katanya, dalam konteks kerajaan negeri, seluruh jentera pentadbiran akan sentiasa berikhtiar bagi memastikan agenda pelan Perak Sejahtera 2030 yang dirangka khusus untuk memacu ekonomi dan memakmurkan negeri akan terus dipergiat supaya akhirnya rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama dapat merasai kemanisan kemajuan.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis berkenaan serta disambut Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Bahaya biarkan pemimpin berperangai saling mencela, saling menghina – Sultan Nazrin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI