SUNGAI SIPUT – Ahli keluarga Nuraina Humaira Rosli, 10, masih terkejut dan bersedih dengan kejadian yang menimpa satu-satunya anak perempuan mereka itu.
Mayat murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, sekitar jam 4.20 petang, Sabtu lalu.
Bapa kepada kanak-kanak terbabit, Rosli Mahadi, 48, berkata, lebih menyedihkan apabila dia melihat isterinya, Khatijah Angah, 31, masih trauma akibat kejadian tersebut.
Rosli berkata, pemergian anak sulung mereka yang dipercayai dirogol sebelum dibunuh itu adalah sesuatu perkara yang tidak boleh diterima.
“Buat masa sekarang, kami sekeluarga dalam proses cuba menerima hakikat bahawa anak kami sudah tiada.
“Walaupun anak bongsu kami tidak menunjukkan reaksi tapi dia dilihat mencari-cari kakaknya,” katanya kepada media di kediaman mereka di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Isnin.
Ketika Rosli diminta untuk mengulas lanjut berhubung kejadian itu, dia berkata, mereka sekeluarga memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan.
“Saya memang dimaklumkan ada suspek ditangkap, eloklah, tetapi saya tak nak tahu dan tidak mahu tengok muka dia. Biarlah polis yang selesaikan apa juga siasatan,” ujarnya.
Sementara itu, Rosli memaklumkan jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah dengan bantuan penduduk kampung dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Proses mandi, kafan dan solat jenazah yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput selesai sekitar jam 12 malam.
“Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van untuk masuk ke kampung yang mengambil masa kira-kira dua jam. Alhamdulillah, urusan pengebumian selesai sepenuhnya jam 3 pagi tadi,” jelasnya.
Terdahulu, Rosli menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang disampaikan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar, Muhamad Hazwan Sabri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes kematian Nuraina Humaira: Remaja lelaki Orang Asli direman tujuh hari