TAPAH – Kerjasama erat antara Barisan Nasional (BN) bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) dibuktikan apabila calon BN diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedua-dua gabungan itu telah bertungkus-lumus menarik pengundi sepanjang kempen pilihan raya berlangsung selama dua minggu.
“BN dan PH telah bekerja dan bertungkus-lumus mencari, meraih pengundi. Macam-macam kita buat.
“Saya sendiri berulang ke beberapa tempat (Ayer Kuning). Itu tanda kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya ketika berucap di Pusat Gerakan BN di Kampung Haji Tahir di sini malam ini.
Beliau menegaskan bahawa penduduk Ayer Kuning tidak termakan dengan fitnah yang meracuni pemikiran rakyat.
“Jadi jangan ada siapa datang ke Ayer Kuning ini bawa fitnah meracun pemikiran rakya, mengadu domba. Ini secara sah ditolak pengundi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa gembira apabila menerima sokongan daripada pengundi muda dan kepercayaan turut diberikan kepada calon BN dalam kalangan pengundi Melayu yang telah diterjemahkan melalui undi pada hari ini.
“Saluran orang muda mula memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon kita.
“Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga melihat peningkatan dan pertambahan kepercayaan kepada calon kita.
“Pengundi dalam kawasan orang cina turut beri sokongan kepada kita.
“Kalau kita dapat teruskan dari semasa ke semasa maka Kerajaan Perpaduan ini akan menjadi semakin kukuh bukan sahaja di Perak malah di Malaysia,” katanya.
Saarani turut mengucapkan terima kasih kepada penceramah, jentera meraih undi yang berjaya melakukannya tanpa menyakiti hati mana-mana pihak.
“Mereka melakukannya tanpa perlu maki hamun orang, tanpa perlu buat fitnah tetapi dengan kasih sayang, merayu kepada mereka supaya beri undi kepada calon kita.
“Ini menggambarkan penduduk di Ayer Kuning adalah mereka yang kasihkan kepada masyarakat yang bersatu padu,” ujarnya.
Sebentar tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan 11,065 undi meninggalkan calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek (6,059) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106) melalui majoriti sebanyak 5,006 undi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: