PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 340 kilogram (kg) minyak masak peket satu (1kg) pelbagai jenis di sebuah premis perniagaan di Pekan Bagan Serai, dekat sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 11.30 pagi itu dibuat pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Parit Buntar selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.
Menurutnya, satu operasi penyamaran sebagai pembeli telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN ketika mereka melaksanakan Ops Tiris di premis berkenaan.
“Ketika penyamaran dilakukan, anggota telah cuba membeli dua peket minyak masak 1kg dan hasilnya penjaga premis memaklumkan minyak masak peket 1kg hanya boleh dibeli sekiranya telah membuat pembelian barangan lain minimum RM50 di premis tersebut.
“Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan anggota beruniform telah masuk ke premis dan telah membuat pemeriksaan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya menemui 340 peket minyak masak 1kg pelbagai jenama di premis berkenaan.
“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.
“Siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mengaku telah mengenakan syarat pembelian sebanyak RM50 ke atas untuk pembelian barangan runcit sebelum dibenarkan membuat pembelian minyak masak peket sebanyak 2kg,“ ujarnya.
Katanya, satu tindakan kes telah diambil dengan tindakan menyita sebanyak 340kg minyak masak peket 1kg di premis terbabit dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM850 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak
Artikel Berkaitan: