Kepentingan ubat halal: Kesedaran umat Islam masih rendah

IPOH – Kesedaran umat Islam terhadap kepentingan memperoleh ubat-ubatan dan produk suplemen yang berstatus halal di pasaran masih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma Biotech Bhd (Duopharma), Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, justeru pemain industri perubatan halal harus tampil dalam meningkatkan kesedaran itu bukan sahaja kepada umat tempatan, malah di antarabangsa.

Katanya, usaha mewujudkan standard farmaseutikal halal MS2424 yang diaplikasikan dalam ketika ini adalah antara langkah terbaik negara dalam meneraju industri halal di pentas global.

Halal ubat umat islam industri halal sektor Wan Amir-Jeffery produk farmaseutikal
Temubual Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma Biotech Bhd, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JULAI 2024.

“Sebelum ini terdapat produk-produk farmaseutikal di pasaran yang tidak memperoleh sijil halal kerana mempunyai sumber porcine atau khinzir.

“Justeru, kita berusaha untuk mencari sumber alternatif kepada bahan berkenaan dalam penghasilan ubat-ubatan termasuk melalui kaedah sintetik.

“Dengan perkembangan teknologi masa kini, ia membantu pihak industri perubatan dalam memastikan produk yang dikeluarkan bebas daripada unsur porcine atau najis-najis tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, dekat sini, pada Selasa.

Pada persidangan beliau turut terlibat dalam pembentangan forum bertajuk ‘Membina Masa Depan: Ekonomi Halal – Peranan Malaysia dalam Membina Ekosistem Halal yang Teguh dan Mampan’

Ia juga disertai Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC), Hairol Ariffein Sahari.

Halal ubat umat islam industri halal sektor Wan Amir-Jeffery produk farmaseutikal
Temubual Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma Biotech Bhd, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid (kiri) ketika pembentangan pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 JULAI 2024.

Mengulas lanjut, Wan Amir-Jeffery memberitahu, Duopharma telah menghasilkan lebih daripada 300 jenis produk farmaseutikal termasuk jenis ubat belian kaunter (OTC).

Selain itu beliau berkata, WCIT adalah pentas terbaik dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat berkaitan perkembangan industri perubatan halal bukan sahaja di peringkat tempatan, malah luar negara.

“Kita perlu terus memberikan maklumat tentang perubatan halal melalui program seumpama ini agar kefahamannya lebih meluas.

“Sebelum ini orang bertanya kenapa perlu halal (dalam perubatan), tetapi sekarang ia boleh dilakukan. Kita sudah ada piawaian dan ubat-ubatan halal boleh dikeluarkan,” katanya lagi.

Tambah Wan Amir-Jeffery, sektor halal secara amnya adalah industri yang besar serta mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Justeru ujar beliau, pembangunan taman industri halal di seluruh negara termasuk di Perak, disaran untuk mengetengahkan kekuatan tempatan.

Jelas beliau, selain dalam penghasilan produk, ia juga harus meliputi penyelidikan dan pembangunan, pengkomersilan, serta pembangunan industri dan modal insan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Skim Perubatan Madani: Lebih 112,000 isi rumah terima manfaat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI