Skim Perubatan Madani: Lebih 112,000 isi rumah terima manfaat

IPOH – Seramai 112,887 isi rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima manfaat di bawah program Skim Perubatan Madani sejak diperkenalkan Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam tempoh tiga bulan itu, sebanyak 181,460 rawatan pesakit luar telah diberikan kepada kumpulan sasar melalui perkhidmatan di 1,587 klinik swasta yang berdaftar melalui skim berkenaan.

“Skim yang diperkenalkan pada 15 Jun lalu itu dilaksanakan untuk membantu golongan B40 mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan primer akut di klinik swasta berhampiran kediaman mereka. 

“Skim ini dimulakan dengan projek rintis di 10 kawasan yang dikenal pasti mempunyai hospital yang mengalami kesesakan sebelum perkhidmatan sama diperluaskan kawasan sasarannya ke seluruh negara pada 15 September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. 

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, perkhidmatan yang ditawarkan menerusi skim sama adalah komprehensif meliputi konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan. 

“Kerajaan menampung sepenuhnya kos rawatan di klinik swasta ini dan pastinya ia mengukuhkan jaringan perlindungan kesihatan dan membantu meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha menambahbaik skim tersebut dengan mengambil kira input dan cadangan pelbagai pihak agar ia memenuhi keperluan kesihatan rakyat dan pengamal perubatan. 

“Dalam usaha pendigitalan perkhidmatan kesihatan,ProtectHealth telah membangunkan aplikasi untuk memudahkan urusan pesakit seperti semakan kelayakan, carian klinik, semakan baki manfaat di bawah skim ini dan pengesahan OTP ketika menerima rawatan di klinik,” katanya.

Selain itu, Zaliha menjelaskan, program Madani Afiat sebelum ini telah pun dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu dan Johor.

Menurutnya, pengisian utama program itu melibatkan aktiviti ‘touch point’ iaitu lawatan dari rumah ke rumah yang turut memberi peluang penglibatan pihak pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat serta pasukan perubatan. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI