IPOH – Keputusan sama ada penjualan rokok elektronik (e-cigarette) diharamkan atau tidak di negeri Perak akan diketahui esok.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas Cadangan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik telah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada minggu lalu.
Menurutnya, meskipun akta berkaitan masih berkuat kuasa dan sedang diteliti oleh pejabat Peguam Negara, langkah segera diambil dengan tidak mengeluarkan lesen baharu untuk penjualan rokok elektronik.
“Tetapi apa yang kita (kerajaan negeri) buat sekarang adalah tidak akan mengeluarkan lesen untuk penjualan rokok elektronik atau vape.
“Antara cadangan yang dibawa pada pembentangan minggu lalu adalah peniaga rokok elektronik yang tamat tempoh lesen berniaga, lesen mereka tidak akan diperbaharui dan permohonan baru untuk penjualan e-cigarette juga tidak akan dilayan.
“Ini yang cadangan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak. Jadi, kalau cadangan ini terima, ia akan digunapakai oleh kesemua PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Sri Perdana Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Kinta, Dr Mohd Zamri Mohd Ali dan Pengerusi Kesatuan Inspektor Kesihatan Cawangan Utara, Ahmad Roshmady Ahmad Kamal.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada pemain industri yang telah mengeluarkan pelaburan besar dengan membawa masuk produk tersebut ke dalam negara.
“Bagaimanapun, hasil kajian KKM menunjukkan tren penggunaan e-cigarette dalam kalangan remaja meningkat dan membahayakan kesihatan.
“Daripada kajian menunjukkan bahawa orang dewasa umur daripada 15 hingga 17 tahun puratanya meningkat dan ini membimbangkan. Jika kita tidak ambil tindakan sekarang, ia akan merumitkan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Setakat ini, enam kerajaan negeri telah melaksanakan larangan awal termasuk tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cadangan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik dibentang Isnin depan