Keputusan terletak di tangan Speaker

IPOH – Status enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya layak diputuskan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor berkata, keputusan tersebut hanya boleh dibuat Speaker Dewan Rakyat sama ada enam Ahli Parlimen tersebut kekal atau perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

“Tindakan pertama yang perlu parti (Bersatu) berkenaan memajukan pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat dan beliau (Speaker) berpandukan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada akan memutuskan sama ada kerusi itu kosong atau tidak.

“Yang ada kuasa memutuskannya adalah Speaker Dewan yang berkenaan. Di Kelantan, Speaker Dewan Undangan Negeri  (DUN) yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini pada Khamis.

Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee menerusi satu kenyataan memaklumkan notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen tersebut telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

“Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari (Speaker Dewan Rakyat) mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” ujar Ahli Parlimen Beluran itu.

Sementara itu, pada Rabu, DUN Nenggiri di Kelantan diisytiharkan kosong.

Keputusan itu diumumkan Yang di-Pertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas pihaknya menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dipecat tapi saya masih MP Bukit Gantang – Datuk Syed Abu Hussin

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI