Kerajaan mahu pelajar pondok kuasai AI, institusi Islam terus diperkasa

IPOH – Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok, maahad dan sekolah agama rakyat (SAR) termasuk menerusi menerusi peningkatan bantuan kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia turut meliputi usaha ke arah transformasi digital dan penambahbaikan kemudahan institusi pendidikan Islam itu di seluruh negara.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan pelajar di sekolah pondok dan maahad tidak ketinggalan dalam penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Kita teruskan inisiatif transformasi digital institusi pendidikan Islam supaya beberapa teknologi baharu dapat diperkenalkan dan anak-anak lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Saya bangga kerana institusi pondok hari ini bukan sahaja mengukuhkan tradisi Islam dan pengajian kitab, malah bersedia meneroka disiplin baharu seperti komputer dan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor, di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.

Perdana Menteri berkata, institusi pondok dan sekolah agama mempunyai peranan besar dalam mempertahankan akidah, ilmu serta jati diri umat Islam di negara ini sejak dari era penjajahan.

Ujar beliau, selepas negara mencapai kemerdekaan, usaha memperkukuh bahasa, budaya dan sistem pendidikan Islam perlu terus diperkasakan tanpa mengabaikan kemajuan ekonomi serta teknologi.

“Malaysia bukan sekadar mahu menjadi negara maju dalam AI, teknologi maklumat atau transisi tenaga, tetapi kita mahu menjadi sebuah Negara Madani yang mengekalkan nilai, akhlak dan jati diri.

“Sebab itu institusi pondok dan maahad mesti terus diperkasakan kerana ia menjadi benteng mempertahankan ilmu, akidah dan akhlak umat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada sekolah pondok dan sekolah agama di Perak.

Kata beliau, bantuan itu disalurkan kepada institusi yang masih memerlukan sokongan bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran.

Selain itu, Anwar turut meluluskan peruntukan khas RM300,000 kepada Maahad Al-Ummah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pelajar tahfiz UPSI jadi imam di University of Oxford sempena Ramadan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI