Kerajaan Perak panggil JAIPk perjelas isu lawatan kuil

IPOH – Kerajaan Negeri Perak telah memanggil Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) berhubung sebuah klip video tular mengenai kursus lawatan anjuran jabatan itu di sebuah kuil  baru-baru ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, jabatan berkenaan telah dipanggil dalam satu mesyuarat khas pagi tadi yang turut dihadiri pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Katanya, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangan isu tersebut hasil daripada mesyuarat yang diadakan dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Susulan mesyuarat tersebut, JAIPk diarahkan untuk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

“JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, JAIPk juga diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan.

“Selain itu, jabatan berkenaan juga dinasihatkan untuk berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan kerajaan negeri meminta semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.

“Kita juga meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

“Sehubungan itu, dengan ini ditegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip “maqasid syariah” dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sebelum ini, tular satu video yang mana peserta program daripada JAIPk telah mengadakan lawatan ke sebuah kuil hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen di media sosial.-  MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penceramah luar dibenarkan mengajar, bersyarah di Perak – JAIPk

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI