Kerajaan percepatkan pembinaan Lebuhraya WISE – Alexander

TAIPING – Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan antara Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sepanjang 60 kilometer.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, satu perjanjian konsesi akan ditandatangani pada pertengahan tahun ini sebagai usaha mempercepatkan pembinaan WISE dalam mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan di Terowong Menora.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan kita akan pastikan pertengahan tahun ini untuk kita tandatangan serta tetapkan projek berjalan.

“Kalau saya kata tengah tahun kita tandatangan perjanjian sudah semestinya kita minta ia dipercepatkan dengan segala mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Pembukaan Seksyen 11, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, di Plaza Tol Taiping Selatan, di sini, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Hasnol Zam dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Alexander turut menambah perjanjian konsesi melibatkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) kini berada diperingkat awal draf perjanjian.

Kerajaan percepatkan pembinaan Lebuhraya WISE - Alexander
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) bergambar pada Majlis Pembukaan dan Perasmian Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan Persimpangan Bertingkat Beruas, di Taiping, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 MAC 2024.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan beliau menzahirkan harapan agar kerja-kerja pembinaan Lebuhraya WISE dimulakan dengan segera bagi mengelakkan kesesakan di Terowong Menora.

“Sebenarnya Perak sedang menunggu satu lagi lebuh raya baharu iaitu WISE yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar untuk mengelakkan daripada mereka melalui Terowong Menora yang kerap berlaku kemalangan.

“Datuk Seri (Alexander) dan KSU membisikkan kepada saya jangan risau menjelang pertengahan tahun ini pihak terlibat akan menandatangani perjanjian konsesi untuk memulakan kerja-kerja pembangunan WISE,” katanya.

MG Perak pada Disember 2023 melaporkan Kabinet telah meluluskan projek pembinaan Lebuhraya WISE yang menghubungkan antara Gopeng dengan Kuala Kangsar pada Rabu.

Saarani ketika itu berkata, beliau difahamkan projek jajaran lebuh raya sepanjang 60 kilometer (km) itu dilaksanakan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Kata beliau, justeru itu kerajaan negeri bersedia untuk mempermudahkan urusan bagi pelaksanaan projek berkenaan termasuk daripada aspek perolehan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Projek pembinaan lebuh raya WISE diluluskan Kabinet – MB Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI