Kerajaan Perpaduan tidak goyah – Zahid

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) tetap akan mencari jalan dan pendekatan bagi menggoyahkan Kerajaan Perpaduan sama ada usul undi percaya atau tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini dengan sokongan 153 Ahli Parlimen akan terus kukuh dan tidak goyah walau apa sekalipun cuba dilakukan pembangkang.

“Saya yakin jika ada usul undi percaya atau undi tidak percaya sekali pun, PN mempunyai jalan untuk cari pendekatan bagi menggoyahkan kerajaan sedia ada.

“Tetapi, Kerajaan Perpaduan dengan adanya 153 dokongan Ahli Parlimen, iaitu melebihi dua pertiga atau lebih 148 Ahli Parlimen, kita yakin solidariti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini akan terus kukuh dan tidak goyah walau apa pun yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang dalam PN,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang sekali mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Ketika berucap pada Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin, Anwar berkata, pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesa beliau untuk ‘turun’ daripada jawatannya.

“Kalau nak suruh turun, bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini,” katanya Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI