IPOH – Seorang kerani kanan di bahagian pentadbiran Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM500 bagi membantu pembekal mendapatkan kerja pembekalan dan pemasangan karpet, tahun lalu.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Al Amzar Dualali, 32, dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama satu bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit seorang kerani kanan Gred S10 yang bertugas di seksyen pentadbiran, telah bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada Muhammad Hanzalah Ahmad, 29.
Wang tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh yang bertindak membantu Syarikat Carpetssouq Global sebagai pembekal untuk mendapatkan kerja pembekalan dan pemasangan karpet di Bilik Mesyuarat 1 dan Bilik Mesyuarat 2 di KPTM Ipoh berjumlah RM7,840.
Mohamad Al Amzar didakwa melakukan perbuatan tersebut di KPTM Ipoh dalam daerah Kinta pada bulan Februari 2025.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya, memohon supaya jumlah denda dikurangkan dan meminta supaya kes tersebut tidak disiarkan media demi menjaga nama baik anak-anaknya.
Bagaimanapun, Sharul Azuan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya lebih bertanggungjawab dan amanah pada masa akan datang.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Empat individu termasuk dua pensyarah direman empat hari bantu siasatan kes rasuah RM5 juta


