Kes kematian akibat pemandu mabuk kekal bawah 0.2 peratus – Anthony

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu kes kematian akibat kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol kekal di bawah 0.2 peratus daripada keseluruhan kemalangan maut di Malaysia sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan statistik polis, sebanyak 13 kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan pada 2023, bersamaan 0.20 peratus daripada keseluruhan 6,473 kematian jalan raya.

Menurut beliau, pada 2024, jumlah itu menurun kepada 12 kematian atau 0.19 peratus daripada 6,464 kematian, sebelum meningkat sedikit kepada 13 kematian atau 0.20 peratus daripada keseluruhan 6,537 kematian pada 2025.

“Bagi 2022, sebanyak 14 kematian direkodkan melibatkan kemalangan di bawah pengaruh alkohol, iaitu 0.23 peratus daripada keseluruhan 6,080 kematian jalan raya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai jumlah kemalangan jalan raya dan kematian mengikut jenis kenderaan bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk peratusan kes yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Anthony berkata, seramai 3,299 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah pada 2023, diikuti 2,468 tangkapan pada 2024, 1,820 tangkapan pada 2025 dan 912 tangkapan bagi tempoh sehingga 31 Mei tahun ini.

Daripada jumlah itu, kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah mengakibatkan 48 kemalangan maut pada 2023, meningkat kepada 92 kes pada 2024, menurun kepada 77 kes pada 2025 dan 48 kes direkodkan sehingga 31 Mei 2026.

Dalam perkembangan sama, jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya di negara ini menunjukkan trend peningkatan daripada 739,877 kes pada 2023 kepada 778,159 kes pada 2024 dan 790,614 kes pada 2025, manakala sebanyak 273,668 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang meneliti cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris yang sah.

Selain itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuhkan aspek penguatkuasaan dan pencegahan menerusi Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) serta meneliti penambahbaikan terhadap Akta 333 bagi memastikan hukuman lebih setimpal dan memberi kesan pencegahan yang berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI