Kes kematian Nuraina Humaira: Remaja lelaki Orang Asli direman tujuh hari

SUNGAI SIPUT – Remaja lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini,  Sabtu lalu, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 25 Ogos ini, dikeluarkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan terhadap suspek berusia 17 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang berbaju t biru gelap dan berseluar sukan berwarna hitam kelihatan dikawal ketat anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada jam 8.30 pagi dan dibawa keluar dari mahkamah kira-kira 15 minit kemudian.

Suspek terbabit yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Bersah pada jam 5.30 petang semalam susulan hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sungai Siput yang mengesahkan terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher dan juga koyakan di kemaluan mangsa.

Terdahulu, MG Perak melaporkan, mangsa Nuraina Humaira Rosli,10, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, kematian murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) diklasifikasikan semula kepada kes bunuh selepas hasil bedah siasat mendapati wujud unsur jenayah.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh berikutan hasil penemuan bedah siasat yang selesai sekitar jam 4.30 petang semalam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Budak perempuan Orang Asli hilang ditemukan mati dalam paya

Lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira ibarat kawasan larangan

Nuraina Humaira disyaki dirogol sebelum dibunuh

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI