IPOH – Hampir dua dekad pengalaman bertugas sebagai penguat kuasa, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Rohaliza Ibrahim, membuktikan bahawa ketabahan dan dedikasi mampu membuahkan hasil yang luar biasa.
Ketegasan beliau dalam memikul amanah demi melindungi kesihatan awam akhirnya mendapat pengiktirafan apabila menduduki tempat pertama Anugerah Pengeluaran Notis Tertinggi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2025 bagi kategori individu.
Anak jati Tanah Merah, Kelantan menerima anugerah tersebut selepas mengeluarkan 86 notis bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.
Menurutnya, kuota pengeluaran notis adalah minimum tiga setiap bulan, dengan operasi dijalankan setiap minggu mengikut ketetapan PKD.
“Biasanya kita akan menjalankan operasi di kawasan hotspot, seperti di Ipoh biasanya kita akan tumpu di tempat awam seperti pasar raya, kedai makan dan kawasan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok.
“Sebagai penguat kuasa tidak semua orang suka bila kena saman. Sebagai penguat kuasa, kita kena kental,” katanya.
Dia berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Sri Perdana Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Rohaliza mengakui terdapat pengalaman pahit sewaktu menjalankan tugas, termasuk berdepan situasi apabila individu yang enggan memberi kerjasama ketika notis hendak dikeluarkan.
Malah, dia terpaksa menghadap individu yang mengeluarkan kata-kata kesat ketika notis diserahkan namun baginya itu adalah perkara biasa.
“Biasalah, bila kita hendak keluarkan notis, mereka tidak beri kerjasama. Ada juga individu yang pernah bertindak membuang notis di hadapan mata.
“Jadi, kita terpaksa guna alternatif. Alhamdulillah, setakat ini, tugas ini tidak mengancam nyawa,“ ujarnya.
Sehubungan itu, Rohaliza menasihatkan orang ramai khususnya perokok supaya menghormati orang lain ketika berada di tempat awam.
“Jangan merokok di kawasan larangan, di tempat awam, kena lihat situasi. Kadang-kadang kedai makan ada bayi, orang tua. Kalau hendak merokok, cari kawasan yang dibenarkan untuk merokok,“ tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: