PERANAN ketua whip dalam memastikan kelancaran tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat semakin signifikan dalam menyelaras dasar serta keputusan pentadbiran bandar.
Di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), jawatan tersebut bukan sekadar penyelaras mesyuarat malah menjadi penghubung utama bagi memastikan kesepakatan ahli majlis sebelum sesuatu dasar diluluskan.
Ketua Whip juga berfungsi memperkukuh kerjasama antara pelbagai parti dalam majlis, selain memastikan isu rakyat dibawa secara tersusun dan berkesan.
Pendekatan ini penting bagi menjamin setiap keputusan pentadbiran memberi manfaat langsung kepada pembangunan bandar dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Kekurangan pendedahan mengenai peranan ketua whip menyebabkan sumbangan sebenar jawatan tersebut sering dipandang ringan oleh orang ramai.
14 tahun jadi Ahli Majlis MBI
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman antara figura yang cukup terkenal dalam pentadbiran MBI dan telah berkhidmat sebagai Ahli Majlis selama 14 tahun serta memegang jawatan ketua whip sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, antara peranan utama ketua whip adalah memastikan kesepakatan dalam kalangan ahli majlis sebelum sesuatu dasar diputuskan.
“Selaku ketua whip saya perlu menerangkan dasar tersebut kepada ahli-ahli majlis, ini supaya dapat mencapai kata sepakat serta mencapai satu keputusan yang baik memandangkan kita bekerja dalam satu pasukan.
Segera turun padang selesaikan isu rakyat
Beliau menegaskan bahawa ahli majlis bertanggungjawab membawa isu rakyat secara langsung kepada pentadbiran, khususnya berkaitan infrastruktur seperti jalan rosak dan masalah banjir.
“Menyentuh isu infrastruktur seperti kerosakan jalan, saya juga ingin beritahu kepada masyarakat di bandar raya Ipoh ada jalan yang ditadbir urus oleh MBI dan ada jalan yang ditadbir urus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya faham dan melihat memang ramai netizen yang ‘complain’ berhubung kerosakan infrastruktur seperti jalan berlubang dan masalah ini adalah salah satu perkara yang perlu kita kena tangani sebaik mungkin.
“Disebabkan itu, saya selalu menekankan kepada ahli majlis tanggungjawab utama adalah membawa isu rakyat. Ini kerana mengikut hierarki PBT adalah ‘kerajaan’ ketiga selepas kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Di bawah pentadbiran MBI segala urusan berkaitan jalan dikontrakkan kepada Puncak Emas Infra Sendirian Berhad (PEISB).

“Menerusi permohonan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan RM20 juta bagi tujuan penurapan semula 400 jalan perumahan di sekitar bandar raya ini,” ujarnya.
Mengenai isu banjir kilat, beliau berkata, bencana tersebut datang secara bermusim, pelbagai agensi terlibat dalam pengurusan risiko termasuk pembersihan longkang dan kawasan tadahan air.
Dalam pada itu, Mazlan turut menekankan kepentingan ahli majlis dalam melaksanakan tindakan segera, termasuk turun padang bersama agensi berkaitan sekiranya menerima aduan daripada orang awam.
“Tindakan ini bergantung kepada keprihatinan seorang ahli majlis itu, bagaimana cara untuk menyelesaikannya dengan baik.
“Sebagai contoh jika kawasan saya ada masalah jalan yang perlu diturap dan ditampal lubang, saya akan mengambil masa antara dua ke tiga hari bekerja untuk untuk mengadakan lawatan bersama kontraktor dan menyelesaikannya dengan segera,” jelasnya.
Kepuasan sebenar adalah penghargaan masyarakat
Apabila ditanya mengenai pencapaian atau anugerah yang pernah diterima sepanjang bergelar ketua whip, beliau yang juga Ahli Majlis Zon Hulu Kinta itu berkata, kepuasan sebenar bukan terletak pada anugerah, tetapi penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Daripada segi anugerah memang tiada tetapi komen positif orang ramai dalam FB (Facebook), TikTok, yang mengatakan saya bekerja cepat dan pantas pun sudah cukup baik untuk saya. Itulah satu kepuasan pada diri saya,” katanya.
Harap pembangunan bandar pintar dapat direalisasikan
Beliau berharap perancangan bandar lebih tersusun dengan penekanan terhadap kebersihan, infrastruktur dan pembangunan bandar pintar.
“Dari segi perancangan ataupun idea saya berharap perancangan bandar raya Ipoh ini dapat disusun dengan rapi, ekonomi yang baik, kebersihan terjaga dan alam sekitar bandar raya Ipoh ini terjamin.
“Secara asasnya, keadaan infra seperti jalan dan longkang perlu berada dalam keadaan baik dan tiada lagi isu sampah haram.
“Jika visi ini berjaya dilaksanakan, pelancong pun seronok untuk datang bercuti dan melawat bandar raya Ipoh,“
Perlu ikhlas bantu rakyat
Sebelum mengakhiri temubual, bapa kepada dua cahaya mata ini menitipkan nasihat kepada golongan muda yang ingin menyertai pentadbiran kerajaan tempatan supaya ikhlas membantu rakyat serta memahami undang-undang berkaitan.
“Mereka yang ingin menjadi ahli majlis ini, yang pertama dia mesti istiqamah dan benar-benar mahu bantu rakyat. Itu paling penting.

“Kemudian dia perlu membawa isu rakyat ke MBI kerana ahli majlis ialah lantikan politik yang diharapkan bekerja untuk parti dan rakyat. Jadi, mesti ada ruang dan masa untuk membantu masyarakat.
“Selain itu, ahli majlis perlu mengetahui undang-undang di bawah Akta 171 Kerajaan Tempatan, sebab dalam mesyuarat kita perlu faham akta dan undang-undang PBT.
“Kedua-dua ini selari, tetapi paling penting kita membantu rakyat dengan membawa isu mereka kepada PBT,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


