IPOH – Tindakan sebuah kilang memproses pelbagai jenis biskut menyimpan tepung gandum melebihi jumlah dibenarkan membawa padah selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kilang yang terletak di Gunung Rapat itu didapati menyimpan 235 beg atau bersamaan 5,875 kilogram (kg) tepung gandum di dalam stor.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan pada jam 10.30 pagi itu turut menyita kesemua tepung gandum yang disimpan dengan nilai RM16,181.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang memiliki permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum dengan had kuantiti simpanan dibenarkan sebanyak 5,000kg.
“Pemeriksaan menyeluruh juga mendapati kilang terbabit telah menyimpan tepung gandum melebihi had yang dibenarkan sebanyak 5,875kg.
“Sehubungan itu, tindakan kes telah dilaksanakan dengan menyita sebanyak 235 beg bersamaan 5,875kg tepung gandum dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,181,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan gagal mematuhi arahan yang diberikan di bawah permit yang dikeluarkan iaitu menyimpan barang kawalan berjadual tepung gandum melebihi had simpanan ditetapkan.
Ujar beliau, KPDN sentiasa memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berkenaan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122 dan, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Tambah beliau, KPDN akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui Inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik Kerajaan untuk membina Gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian (edagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel. -MG Perak