IPOH – Sebuah kilang memproses cili kisar di Kawasan Perindustrian Silibin diserbu penguat kuasa, semalam selepas didapati menggunakan logo halal yang tidak sah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menyita kesemua cili kisar bernilai RM43,185.80.
Menurutnya, serbuan pada jam 10.30 pagi turut membabitkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi ini dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihak KPDN Perak berhubung adanya aktiviti memproses makanan di kawasan perindustrian tersebut yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, kilang ini sedang beroperasi memproses cili kisar.
“Seorang lelaki tempatan berumur 60-an dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal apabila diminta oleh pihak KPDN.
“Sehubungan itu, kesemua cili kisar yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, plastik pembungkus yang tertera logo halal, barangan pembungkusan dan lain-lain dokumen disita,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.
“Selain itu, satu Perintah Tutup Premis Makanan juga telah dikenakan ke atas kilang oleh KKM kerana mendapati tahap kebersihan kilang tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN periksa premis jual ikan siakap bakar RM75 di Pulau Pangkor
[…] Kilang proses cili kisar kena serbu, guna logo halal tak sah […]