KIR miskin tegar di Perak hampir dinoktahkan – Salbiah

USAHA beterusan Kerajaan Negeri Perak menoktahkan kemiskinan berjaya merekodkan penurunan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sebanyak 58 peratus tahun lalu.

Malah kejayaan Perak mengurangkan jumlah KIR daripada 9,402 orang pada Januari 2023 kepada 3,911 orang pada 31 Disember tahun sama menunjukkan usaha kerajaan negeri membuahkan hasil.

Keberkesanan pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform juga menjadi antara penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Bercakap kepada MG Perak, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pelbagai usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam menoktahkan miskin tegar di Perak.

Selaku Exco bertanggungjawab, Salbiah berkata, tumpuan membasmi KIR miskin tegar diteruskan beliau selepas diberi amanah menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Alhamdulillah semenjak saya memegang portfolio yang diberikan untuk membantu Kerajaan Negeri Perak dari aspek kesejahteraan sosial, pelbagai usaha berterusan telah dilakukan dan saya meneruskan agenda itu.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed beramah mesra dengan Muhammad Arif Iman Ahmad Sapri 5, dan adiknya Nur Alisha 3, anak kepada penerima Kad Perak Sejahtera ketika Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.

“Pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan antaranya program utama kita iaitu OCS dan juga pemutihan yang dilakukan pejabat pentadbiran daerah,” katanya.

Menurut Sabiah, pihaknya sentiasa memberikan akses terbaik kepada kumpulan sasar dengan memadankan bantuan-bantuan yang ada setiap kali pengajuran program OCS.

Ujar beliau, ia termasuk menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada KIR untuk mendapatkan padanan pekerjaan atau bantuan bersesuaian bagi membantu mereka keluar dari kelompok miskin tegar.

“Alhamdulillah usaha-usaha dilakukan ini pada tahun lepas kita berjaya menurunkan jumlah miskin tegar kepada 3,911 orang daripada 9,402.

“Apa yang menarik daripada tindakan tersebut pada tahun ini kita berjaya mengunci data baharu pada 1 Februari dengan jumlah KIR miskin tegar seramai 8,128 orang.

“Jika kita lihat jumlah berkenaan terdapat penurunan lebih 1,000, jadi maknanya ada sebahagian daripada kumpulan itu memang betul-betul berjaya dikeluarkan terus dari KIR miskin tegar,” katanya.

Jangan salah tafsir golongan miskin tegar dan miskin

Ditanya mengenai kejayaan Kerajaan Negeri Perak dalam menoktahkan miskin tegar Salbiah berkata, usaha berterusan masih dijalankan dalam membimbing kumpulan sasar iaitu KIR miskin tegar untuk mengupayakan diri masing-masing.

Jelas beliau pelbagai peluang dan bantuan disediakan kerajaan negeri telah membuahkan hasil dan ia dibuktikan dengan data-data yang diumumkan sebelum ini.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyerahkan Kad Perak Sejahtera kepada Suzana Zainun pada Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.

“Apa yang kita fokuskan kita bercakap soal membuat keputusan berpacukan data, jadi data eKasih tahun ini menunjukkan seramai 8,128 KIR miskin tegar di Perak dan daripada data ini kita lakukan tindakan yang cukup agresif.

“Malah Perak menggunakan Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang paling terkini bersama data eKasih dan sistem e-Penghulubagi mengenal pasti kumpulan sasar baharu.

“Dengan tindakan berterusan ini, Insya-Allah kita jangkakan antara Julai dan Ogos ini Perak akan dapat menoktahkan miskin tegar kerana sekarang kita sudah mencapat tahap 99 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Salbiah turut menegaskan agar tidak ada mana-mana mengambil kesempatan dengan menyalahtafsirkan kejayaan kerajaan negeri dalam menoktahkan miskin tegar di Perak.

“Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah jangan salah mentafsirkan istilah miskin tegar yang kita nyatakan di mana apabila Perak berjaya menurunkan kadar miskin tegar seolah-olah digambarkan tiada orang miskin di negeri ini.

“Harus diingatkan bahawa kita ada dua kelompok golongan iaitu miskin tegar dan miskin namun tumpuan yang diberikan sekarang adalah kepada golongan miskin tegar melalui pelbagai usaha berterusan,” katanya.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyerahkan Kad Perak Sejahtera kepada Nur Nabilatul Awiryah Azahar 31, pada Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga tidak melupakan kumpulan miskin yang turut dibantu dari pelbagai sudut dan kaedah lain.

Miskin tidak bermakna miskin selamanya

Mengulas lanjut Salbiah berkata, setiap KIR miskin tegar yang dibantu kerajaan negeri perlu mempunyai usaha dan inisiatif sendiri untuk keluar dari garis kemiskinan.

Katanya, pendidikan anak-anak perlu menjadi keutamaan memandangkan ia mampu mengubah kehidupan sesebuah keluarga dan masyarakat.

“Miskin tidak bermakna kita akan miskin selama-lamanya, apa yang penting pastikan pendidikan anak-anak kita beri keutamaan kerana ia merupakan perkara asas untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Sekiranya anak-anak kurang berjaya dalam pelajaran kita boleh beri tumpuan kepada pendidikan kemahiran seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang semakin banyak peluang pekerjaan.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed pada sidang media Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 MAY 2024.

“Jadi bagilah kemahiran atau pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kerana dengan jalan itu sahajalah kita mampu mengubah kehidupan,” katanya.

Salbiah juga turut meminta semua agensi kerajaan meneruskan kerjasama dalam mengenal pasti serta membantu mengikut kapasiti golongan yang benar-benar layak menerima bantuan dan dibimbing.

“Selain itu, saya juga mengharapkan agar kepimpinan masyarakat serta masyarakat itu sendiri cakna dan membantu kerajaan negeri menjadi kaki, tangan, mata dan telinga.

“Maklumkan kepada kerajaan negeri untuk kita bantu memastikan agar setiap perancangan Pelan Perak Sejahtera 2030 itu bila bercakap dalam soal konteks pembangunan sosial kesejahteraan rakyat benar-benar dapat direalisasikan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Jangan Menangguk Di Air Keruh, 80 Peratus KIR Miskin Tegar Di Perak Berjaya Keluar

MGPerak: Miskin Tidak Selamanya Miskin, Kerajaan Perak Terus Noktah Kemiskinan

MGPerak: Miskin Tidak Selamanya Miskin, Kerajaan Perak Terus Noktah Kemiskinan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI