REMBAU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan jelas mengenai lembaran politik baharu gabungan itu menjelang tahun 2026 apabila menegaskan BN mengamalkan politik ‘tebuk atap’.
Beliau menyatakan BN kini fokus membina masa depan yang lebih kukuh melalui mandat yang jelas dan teratur.
“Kita tak tebuk atap, kita buka atap baru untuk 2026. Kita mahu kembalikan kerajaan negeri kepada BN dan memajukan semula negeri ini,” katanya yang disambut dengan sorakan gemuruh ‘Hidup BN’ oleh penyokong yang hadir.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penuh semangat bagi menyuntik momentum terakhir buat jentera parti sebelum pergerakan tiga calon BN di bawah Parlimen Rembau ke Pusat Penamaan Calon pagi tadi.
Terdahulu, UMNO dikatakan tebuk atap apabila menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Disebabkan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.
Sementara itu, tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Rembau yang ditandingi BN adalah DUN N26 Chembong calonnya adalah Datuk Zaifulbahri Idris; N27 Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan N28 Kota Suhaimi Aini.
Selesai memberikan ucapan, Ahmad Zahid sempat menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong yang hadir seawal pagi bagi mengiringi kesemua calon tersebut.
“Terima kasih, terima kasih,” katanya ringkas sambil melambaikan tangan kepada lautan penyokong berbaju biru.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu bukan sahaja menaikkan moral para calon, malah membuktikan Parlimen Rembau kekal menjadi kubu kuat dan tumpuan utama BN dalam strategi politik tanah air menuju tahun-tahun mendatang.
Suasana di pekarangan pusat berkumpul amat gamat dan penuh bertenaga sebelum kesemua calon bergerak bersama-sama berjalan kaki bagi menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
BN bertanding 25 kerusi daripada 36 jumlah keseluruhan, selebihnya adalah rakan politik bahru iaitu Perikatan Nasional yang bertanding 11 kerusi. -MalaysiaGazette


