KLCC lokasi tumpuan warga asing sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR – Ribuan warga asing membanjiri destinasi pelancongan utama ibu negara sempena sambutan Aidilfitri hari ini, menjadikan cuti umum sebagai peluang untuk bersantai dan bertemu rakan senegara.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar pusat beli-belah KLCC mendapati lokasi itu mulai sesak seawal jam 11 pagi, dengan warga asing berkumpul untuk beraya bersama dalam suasana meriah.

Tidak sekadar bersantai, mereka turut merakam kenangan dengan bergambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.

Malah ada yang tampil bergaya dalam pakaian tradisional negara masing-masing, menambah warna kepada suasana perayaan.

Bagi Yuli Pak Edin, 32, dari Jawa Timur, Indonesia, Aidilfitri di Malaysia bukanlah sesuatu yang asing lagi.

Setelah 15 tahun menetap di negara ini bersama suaminya yang merupakan rakyat Malaysia, dia sudah terbiasa menyambut lebaran di sini.

⁠Pengunjung, ⁠⁠Yuli Pak Edin, bercakap pada media berkenaan cuti umum perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2025.

“Saya bukan melancong, memang duduk di sini. Cuma hari ini saya ambil kesempatan jalan-jalan ke KLCC dan lepas ini nak ke Batu Caves pula,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, walaupun suasana sambutan di Malaysia dan Indonesia mempunyai sedikit perbezaan, dia tetap merasai kemeriahannya terutama apabila dapat berkumpul dengan sanak-saudara.

“Sambutan Aidilfitri di sini berbeza sikit dari Indonesia. Tapi saya tetap balik ke Indonesia setiap tahun juga untuk beraya dengan keluarga di kampung,” tambahnya.

Sementara itu, Ilham Maksum, 21, yang berasal juga berasal dari Indonesia, menjadikan KLCC sebagai destinasi pilihan untuk merasai kemeriahan Aidilfitri di Malaysia buat kali pertama.

Selain KLCC, dia juga merancang untuk melawat Batu Caves bagi melihat keindahan tempat tersebut.

“Saya suka tempat yang cantik dan menarik untuk dilawati. Jadi sebelum pulang ke Indonesia, saya mahu pastikan dapat melihat sebanyak mungkin tempat menarik di Malaysia,” katanya.

Bagi Akbar Ali, 29, warga Bangladesh yang sudah tujuh tahun menetap di Malaysia, sambutan Aidilfitri tetap bermakna walaupun jauh dari keluarga.

⁠Pengunjung, ⁠⁠Akbar Ali, bercakap pada media berkenaan cuti umum perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2025.

“Saya di sini jalan-jalan, pusing-pusing saja. Tengok KLCC, ambil gambar, jumpa kawan-kawan. Raya mana-mana pun sama, asalkan kita boleh berjumpa dengan orang Islam lain dan raikan bersama,” katanya.

Menurutnya, bekerja di Malaysia memberikan pengalaman baru, namun perayaan seperti Aidilfitri tetap mengingatkannya kepada kampung halaman.

“Keluarga saya tiada di sini, jadi saya hanya beraya dengan kawan-kawan. Lepas KLCC, saya nak pergi jumpa seorang lagi kawan,” ujarnya.

Walaupun tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga, Akbar tetap menikmati juadah raya pagi tadi selepas solat Aidilfitri.

“Tadi pagi lepas solat saya makan kuih-muih dan bubur. Lepas itu, terus datang sini jalan-jalan,” katanya sambil tersenyum.

Rata-rata pengunjung mahu memanfaatkan peluang untuk meluangkan masa bersama rakan, sambil berkongsi keindahan Malaysia dengan keluarga melalui rakaman gambar dan panggilan video. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI