KOAST pacu ekonomi Jahai, pelihara khazanah Sungai Tiang

TINGGAL jauh di pedalaman dengan akses yang terbatas kepada pusat bandar tidak menghalang masyarakat Orang Asli Jahai di Kampung Sungai Tiang membina sumber ekonomi sendiri.

Malah mereka memilih untuk memanfaatkan kelebihan yang ada di sekeliling termasuk alam semula jadi, santuari ikan kelah dan kemahiran menghasilkan kraf tangan sebagai usaha meningkatkan pendapatan komuniti melalui pelancongan.

Pendekatan itu digerakkan menerusi Koperasi Orang Asli Sungai Tiang (KOAST), yang kini menjadi antara platform penting masyarakat setempat untuk mengimbangi keperluan menjana ekonomi dengan tanggungjawab memelihara kawasan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Bagi kira-kira 450 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tiang yang membabitkan 122 ketua keluarga, kewujudan koperasi bukan sekadar sebuah entiti perniagaan tetapi juga menjadi wadah penduduk menggembleng tenaga, kemahiran dan sumber yang ada di sekeliling mereka bagi menjana pendapatan tanpa mengetepikan tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Pemandangan perkampungan Orang Asli Sungai Tiang yang terletak di pedalaman Gerik ketika Program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Melalui Penyerahan Bot sempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI), pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Pengerusi KOAST yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Tiang Hadi Mes berkata, koperasi tersebut ditubuhkan pada 2022 dengan antara matlamat utamanya membantu mengurus dan memperkasa aktiviti ekonomi berkaitan Santuari Ikan Kelah Sungai Tiang atau dipanggil sebagai Akekchep yang diwujudkan sejak 2016.

Katanya, sehingga kini KOAST mempunyai kira-kira 120 ahli yang terdiri daripada penduduk kampung itu sendiri.

“Antara aktiviti utama koperasi ialah ekopelancongan, khususnya berkaitan santuari ikan kelah yang turut membantu menjana pendapatan koperasi.

“Selain itu, kita mempunyai kedai runcit untuk memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan kerana kedudukan kampung yang jauh dari bandar,” katanya.

Hadi berkata, lebih menarik lagi kedai runcit berkenaan bukan sekadar menjadi tempat penduduk mendapatkan barangan harian, sebaliknya turut menjadi ruang untuk memasarkan hasil tangan masyarakat Orang Asli Sungai Tiang.

Antaranya termasuk rantai diperbuat daripada pokok buah jelai, selain gelang dan cincin berasaskan rotan yang dihasilkan penduduk setempat.

Koperasi Orang Asli Sungai Tiang Berhad bukan sahaja menjadi pusat urusan ekonomi penduduk, malah berfungsi sebagai lokasi tumpuan komuniti bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung membuka satu lagi ruang ekonomi kepada masyarakat kampung apabila hasil kraftangan mereka dapat diperkenalkan kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

Bagi Hadi, kekuatan sebenar koperasi bukan semata-mata terletak pada jumlah aktiviti yang dijalankan, tetapi pada keupayaannya menyediakan sumber pendapatan kepada penduduk yang tinggal dalam kawasan yang mempunyai pelbagai batasan dari segi pembangunan.

“Alhamdulillah, koperasi ini menyediakan sumber pendapatan dan ekonomi kepada penduduk sendiri.

“Memandangkan kita berada di kawasan perlindungan, ada perkara yang perlu kita patuhi berkaitan enakmen dan akta agensi tertentu. Jadi, koperasi ini antara jalan untuk kita menjana pendapatan,” katanya.

Tidak mahu generasi muda tercicir

Menurut Hadi, perancangan KOAST selepas ini adalah untuk memperkemas pengurusan koperasi dan pada masa sama memastikan lebih ramai penduduk kampung memperoleh manfaat ekonomi.

“Kita mahu pengurusan lebih bertambah baik dan lebih ramai orang kampung mendapat sumber ekonomi serta pekerjaan.

“Dalam masa yang sama, kita mahu menjaga kawasan dan hidupan yang ada di sekeliling kita,” katanya.

Hasrat itu membawa satu persoalan lebih besar sejauh mana koperasi mampu menjadi mekanisme untuk memastikan generasi muda Orang Asli tidak perlu meninggalkan kampung semata-mata untuk mencari sumber pendapatan.

Jika aktiviti ekopelancongan, kraftangan, perniagaan runcit dan pemuliharaan dapat diperkasakan secara bersepadu, Sungai Tiang mempunyai ruang untuk membentuk satu ekosistem ekonomi yang berpaksikan aset komuniti sendiri.

Suasana sekitar program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Melalui Penyerahan Bot Kepada Koperasi Orang Asli sempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Lebih penting, pembangunan sedemikian membolehkan anak muda melihat kampung bukan sekadar tempat asal-usul, tetapi turut mempunyai potensi sebagai ruang membina masa depan.

Bagi Hadi, kesinambungan koperasi amat bergantung kepada generasi akan datang, khususnya anak muda masyarakat Jahai.

“Koperasi ini adalah satu langkah besar yang berani diambil oleh masyarakat Jahai untuk menubuhkan koperasi.

“Harapan saya ke depan supaya anak muda dan generasi Jahai seterusnya menjaga koperasi ini dan menjadikannya sebagai satu sumber ekonomi kepada penduduk,” katanya.

Koperasi orang asli tingkat ekonomi penduduk

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Usahawan Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penubuhan KOAST membuktikan koperasi mampu menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi komuniti Orang Asli menerusi penglibatan mereka sendiri dalam aktiviti berasaskan kekuatan setempat.

Beliau berkata, kewujudan koperasi berkenaan telah menjadi penggerak kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tiang untuk meningkatkan ekonomi menerusi aktiviti yang bersesuaian dengan persekitaran mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal menyerahkan replika kunci bot kepada Tok Batin pada program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Melalui Penyerahan Bot Kepada Koperasi Orang Asli sempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Menurutnya, antara aktiviti utama yang digerakkan ialah sektor pelancongan menerusi pengurusan kawasan santuari ikan kelah yang menjadi antara tarikan kepada pengunjung ke Sungai Tiang.

“Jelas menunjukkan apabila di Sungai Tiang ini ada Koperasi Orang Asli Sungai Tiang Berhad, ia telah menjadi satu katalis ataupun penggerak kepada penduduk untuk meningkatkan ekonomi melalui aktiviti-aktiviti koperasi.

“Di sini ialah aktiviti pelancongan, iaitu ada satu kawasan santuari ikan kelah dan pelancong datang, manakala koperasi menjadi perantara untuk membawa pelancong masuk ke kawasan berkenaan,” katanya.

Salbiah berkata, lebih membanggakan apabila kemudahan atau kawasan berkenaan sendiri lahir daripada usaha koperasi yang dipengerusikan Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Hadi Mes, sekali gus memperlihatkan keupayaan komuniti Orang Asli mengurus potensi ekonomi mereka sendiri.

Katanya, pendekatan sedemikian selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang mahu manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli, bukan sekadar diterjemahkan melalui angka atau pencapaian ekonomi di peringkat makro.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berucap pada program CSR Pemerkasaan Komuniti Orang Asli Melalui Penyerahan Bot Kepada Koperasi Orang Asli sempena Program Aspirasi Sosioekonomi Koperasi Orang Asli (PASTI ASLI) di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak sendiri sentiasa menyebut bahawa kita mahu mereka rasa, bukan sahaja digambarkan dengan angka tetapi mereka merasai melalui penubuhan koperasi ini.

“Kita mendekati pelbagai kelompok masyarakat termasuk masyarakat Orang Asli dan ini sebenarnya membantu Pelan Perak Sejahtera dalam mensejahterakan masyarakat Orang Asli melalui pendekatan peningkatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan KOAST juga boleh dijadikan contoh kepada komuniti Orang Asli lain kerana masyarakat setempat sendiri lebih memahami keperluan, potensi serta pendekatan yang sesuai untuk membangunkan komuniti masing-masing.

“Orang luar mungkin boleh bercakap, tetapi mereka sendiri yang tahu bagaimana mereka mahu membangunkan komuniti mereka dan dengan bimbingan yang betul, mereka pasti boleh berjaya,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI