BAGAN DATUK – Umum mengetahui Bagan Datuk cukup terkenal dengan penanaman pokok kelapa tetapi terdapat satu lagi tarikan popular terutama khususnya bagi kaki pancing yang ingin melepaskan gian memancing di kolam pancing air masin.
Kolam pancing air masin diberi nama Bakau De Baruh (BDB) yang terletak antara sempadan muara Sungai Perak dan Sungai Bernam mula dibuka pada 29 Oktober 2016 dengan matlamat untuk menjadikannya tempat rekreasi memancing di kawasan Bagan Datuk.
Di setiap sudut kolam seluas lebih 0.8 hektar itu dilengkapi kemudahan tempat duduk secara terbuka dan berbumbung serta lampu bagi mereka yang ingin memancing pada waktu malam.
Kaki pancing yang datang untuk melakukan aktiviti kegemaran mereka itu pasti berasa selesa dengan suasana tenang ditambah dengan kehijauan pokok kelapa yang mengelilingi kolam pancing berkenaan.
Jana pertumbuhan ekonomi dan peluang kerja untuk penduduk setempat
Ketua Pegawai Eksekutif BDB, Mu’az Adli Ramlee, 39, berkata, kolam pancing air masin pertama di Bagan Datuk ini dibuka bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, kolam tersebut turut dilengkapi dengan beberapa fasiliti seperti surau, tandas dan kafeteria bersesuaian dengan konsepnya yang mesra keluarga.
“Konsep kolam BDB ini adalah kolam pancing air masin seperti kolam yang lain. Fokus kita adalah mendekatkan riadah memancing laut di darat untuk memberi peluang kepada semua orang merasai nikmat memancing secara rekreasi.
“Selain itu, pembukaan kolam ini memberi peluang kepada anak-anak muda Bagan Datuk untuk menambah pendapatan sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi di daerah ini.
“Alhamdulillah sejak mula beroperasi sampai sekarang kolam ini menjadi tumpuan pemancing bukan sahaja dari Malaysia malah pelancong luar negara seperti Australia, Singapura dan sekitar Eropah,” katanya.
Kaki pancing tak perlu ke laut
Dalam perkembangan berkaitan, Mu’az Adli berkata, kolam BDB menyediakan pelbagai jenis ikan laut yang diperoleh melalui konsep pancing transit daripada pembekal dari Pulau Pinang.
Katanya, antara ikan yang terdapat di kolam itu adalah siakap, siakap putih, siakap merah, jenahak dan kerapu.
“Sebelum ini, pemancing yang ingin mendapatkan ikan-ikan tersebut perlu turun ke laut namun kini mereka boleh datang sahaja ke kolam kita untuk memancing spesis ikan tersebut.
“Untuk rekod ikan paling besar adalah seberat 25 kilogram (kg) dan biasanya pemancing berpeluang untuk memancing ikan dengan berat antara satu hingga lima kg.
“Buat masa ini kita hanya sediakan ikan sahaja dan mungkin pada tahun hadapan kita akan bukan kolam pancing udang indoor yang lebih santai untuk keluarga.
“Bagi kolam pancing ini, apa yang kita niagakan adalah perkhidmatan. Kalau pemancing dapat 10 ekor ikan, itu akan menjadi miliknya kerana kita bukan menjual ikan,” jelasnya.
Persediaan BDB sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024
Menyentuh persiapan BDB menjelang TMP 2024, beliau memaklumkan beberapa perancangan telah disusun bagi menjayakannya.
“Kita sudah bermula dengan menetapkan misi 2024 untuk mempelbagaikan jenis ikan dan serta menaik taraf perkhidmatan terutamanya segi tempat tidur.
“Ini kerana kebanyakan pelanggan kita datang daripada jauh tetapi di sini tiada tempat untuk mereka berehat.
“Jadi, untuk pelan jangka masa pendek kita akan cuba kekalkan harga dan fasiliti sedia ada dan mungkin mempertimbangkan untuk menyediakan tempat tidur bagi pengunjung yang datang dari jauh,” ujarnya.
Beliau turut berhasrat untuk menjadikan kolam pancing ini sebagai lokasi latihan pemancing bagi menjayakan misi utama BDB untuk menjadikannya lokasi induk sukan memancing di Malaysia.
Tak pernah tak dapat ikan
Sementara itu, seorang kaki pancing wanita yang juga pemilik kedai makan, Suriati Talib, 54, berkata, kolam pancing ini memang tidak asing baginya kerana dia sering melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya seminggu dua kali bersama ahli keluarganya.
“Akak selalu memancing di sini memang dapat. Sekali memancing dapatlah lima ke enam ekor ikan dan ikan yang paling besar pernah dapat adalah kerapu seberat 5.2 kg.
“Kolam ini juga tidak pernah menghampakan dan bayarannya mampu milik,” katanya yang sudah enam tahun memancing di kolam berkenaan.
Seorang lagi pemancing dari Klang, Selangor, Shafiq Abdullah, 58, pula berkata, dia seorang yang ‘gila memancing’ dah sentiasa berulang alik ke kolam tersebut sejak enam tahun lalu.
“Tempat ini sangat bersih, cantik serta lengkap dengan kafeteria, tandas, surau, semua kemudahan ada. Jadi, harap pemancing boleh singgah di sini untuk merasai pengalaman memancing di kolam air masin,” jelasnya.
Kepada kaki pancing yang berminat untuk datang ke BDB yang terletak di Parit 1, Sungai Sumun, ia dibuka setiap hari Selasa – Khamis (1 petang hingga 12 tengah malam), Jumaat (3 petang – 12 malam) manakala Sabtu – Ahad (9 pagi – 12 malam) dan ditutup pada setiap Isnin.
Bayaran masuk yang dikenakan untuk setiap pancing adalah mengikut pakej yang bermula dari RM80 (empat jam), RM90 (enam jam). Setiap Rabu dan Khamis pemancing yang berpasangan boleh mengambil pakej Couple hanya RM80 (dua joran).
Jenis umpan yang biasa digunakan pula adalah udang hidup dan belanak, kedua-duanya boleh dibeli di kaunter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fasa pertama Dinosaur Encounter World rancakkan TMP 2024