KUALA KANGSAR – Komuniti pekebun durian Perak khususnya di daerah Kuala Kangsar mencadangkan supaya buah itu dipertimbangkan sebagai Buah Kebangsaan Malaysia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Wakilnya, Mohamad Kamal Noh Safiee berkata, ia berdasarkan identiti buah itu yang kuat dari segi sejarah, biodiversiti, budaya, warisan, ekonomi dan identiti negara.
Menurutnya, cadangan ini dikemukakan secara terbuka sebagai pandangan daripada pekebun durian tempatan yang melihat durian bukan sekadar komoditi pertanian tetapi lambang perpaduan kaum dan amat dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
“Durian bukan sekadar buah bermusim tetapi menjadi sebahagian daripada kenangan rakyat Malaysia. Musim durian juga sering dikaitkan dengan budaya balik kampung, berkongsi rezeki dan menikmati hasil tempatan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Difahamkan, setakat ini Malaysia belum pernah mengisytiharkan secara rasmi mana-mana buah-buahan tempatan sebagai Buah Kebangsaan.
“Jika kita bercakap mengenai Buah Kebangsaan, penilaiannya tidak wajar bertumpu kepada sudut ekonomi sahaja tetapi perlu mengambil kira sejarah, budaya rakyat, Khazanah biodiversiti, identiti negara dan bagaimana buah itu dikenali di mata dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sesi Ramah Mesra Komuniti Durian Daerah Kuala Kangsar Bersama Media Perak di Homestay Dango Cakcibor, di sini hari ini.

Mohamad Kamal turut menjelaskan, negara ini mempunyai lebih 200 varieti durian antaranya Musang King, Duri Hitam, Sultan, Tekka, IOI dan pelbagai varieti lain yang direkodkan Jabatan Pertanian sejak 1934.
“Sistem dokumentasi varieti durian ini membuktikan bahawa buah tersebut bukan sahaja menjadi tanaman komersial tetapi sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang telah dibangunkan dan diwarisi sejak dari era 1930-an.
“Varieti premium seperti Musang King, Duri Hitam dan D24 antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa kerana kualiti, keunikan rasa dan reputasi durian Malaysia. Ini adalah kekuatan jenama negara yang perlu dipelihara dan diangkat,“ ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap KPKM dapat mempertimbangkan cadangan mereka untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bagi menilai secara holistik kriteria pemilihan Buah Kebangsaan Malaysia.
“Jawatankuasa itu dicadangkan melibatkan kementerian, Jabatan Pertanian, universiti, pakar biodiversiti, pakar sejarah, wakil industri, petani, pengguna dan pihak berkepentingan lain.
“Antara kriteria yang boleh dinilai termasuk sejarah dan warisan buah tersebut di Malaysia, kepelbagaian genetik dan biodiversiti tempatan, nilai budaya dalam kehidupan rakyat serta kepentingan ekonomi pada negara,” jelasnya.
Pada masa sama, Mohamad Kamal turut menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana komoditi pertanian lain termasuk betik, ciku, pisang, mangga atau buah-buahan lain. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
FAMA buka 20 pusat pengumpulan sementara buah-buahan bermusim di Perak atasi lambakan durian


