Konflik Iran-Israel: Malaysia pantau kesan terhadap bekalan makanan

BERUAS – Kerajaan akan memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan konflik antara Iran dan Israel ketika ini tidak memberi kesan besar kepada rantaian bekalan makanan di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, justeru perkara itu berkemungkinan akan dibawa pada Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

“Kita tidak dapat memastikan apa kesan kepada negara susulan daripada konflik dua negara tersebut. Namun, berkemungkinan perkara berkenaan juga antara yang akan dibincangkan pada mesyuarat nanti.

“Kita tidak dapat pastikan situasi sebenar sama ada adakah ia baru bermula, akan berhenti, atau akan merebak ke negara-negara (Timur Tengah) yang lain, itu kita belum dapat maklumat yang terkini,” katanya.

Konflik Iran Israel bekalan makanan Malaysia bekalan makanan Malaysia, konflik Iran Israel 2025, Mohamad Sabu, kesan konflik Timur Tengah, sekatan ekonomi Iran, Mesyuarat Kabinet Anwar Ibrahim, import kurma Iran, perubahan cuaca padi Malaysia
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerima cendera hati pada lawatan di Projek Ternakan Lembu Pertubuhan Peladang Perak di Ladang Kampung Tengah, Beruas, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Projek Ternakan Lembu Pertubuhan Peladang Perak di Ladang Kampung Tengah, dekat sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, walaupun Malaysia ada mengimport beberapa jenis makanan dari Iran, namun jumlahnya tidak terlalu besar memandangkan negara berkenaan berhadapan dengan sekatan ekonomi dunia.

Tanpa mengulas secara terperinci, beliau berkata, antara bahan makanan yang diimport dari negara Republik Islam itu adalah kurma dan pistachio.

“Negara berkenaan menghadapi sekatan ekonomi yang mana bank-bank antarabangsa juga berhadapan masalah berurusan dengan Iran.

“Malah, lazimnya barangan yang diimport dari Iran tidak berlaku secara terus, sebaliknya ia melalui pihak ketiga seperti Dubai dan sebagainya,” ujar beliau.

Sejak Jumaat waktu tempatan, media melaporkan Iran dan Israel saling melancarkan serangan udara susulan serangan negara haram Israel yang bertujuan menghalang pembangunan senjata nuklear oleh Iran.

Media antarabangsa juga melaporkan, serangan Israel ke atas Tehran setakat ini telah meragut 78 nyawa termasuk pegawai tertinggi tentera, manakala 320 lagi cedera.

Konflik Iran Israel bekalan makanan Malaysia bekalan makanan Malaysia, konflik Iran Israel 2025, Mohamad Sabu, kesan konflik Timur Tengah, sekatan ekonomi Iran, Mesyuarat Kabinet Anwar Ibrahim, import kurma Iran, perubahan cuaca padi Malaysia
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang media sempena lawatan di Projek Ternakan Lembu Pertubuhan Peladang Perak di Ladang Kampung Tengah, Beruas, pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, jadual tanaman padi di negara ini akan diubah sebagai langkah menghadapi perubahan cuaca yang ekstrem dan tidak menentu ketika ini.

Jelas beliau, perkara itu dilaksanakan hasil perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dalam memastikan bekalan beras tempatan tidak terkesan.

“Setakat ini pengeluaran (beras) sekitar 60 peratus tidak terjejas (dengan cuaca panas). Namun, sehingga kini, kita juga tidak tahu sama ada akan berlaku banjir besar atau tidak,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh sektor pertanian melalui projek hab agromakanan NCER berteknologi tinggi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI