SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses menilai jumlah kos kerosakan dialami sekolah-sekolah di sembilan negeri yang terjejas akibat gelombang pertama banjir baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penilaian itu sedang dilaksanakan susulan pihaknya telah mengenal pasti sekolah-sekolah yang terjejas akibat bencana itu.
“Gelombang pertama kita dah ada bilangannya (sekolah terjejas) cuma kini sedang kenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terlibat.
“Selain itu, kita juga sedang membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan KPM untuk menyalurkan bantuan segera bagi membaik pulih sekolah yang rosak akibat banjir supaya sekolah-sekolah yang terlibat dapat kembali beroperasi secepat mungkin.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut menyatakan keyakinan terhadap persiapan yang telah dilakukan bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua selepas berjaya mengatasi gelombang pertama secara tersusun.
Jelasnya, KPM telah mempertingkatkan kesiapsiagaan khususnya untuk memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta sekolah-sekolah yang terlibat dapat menghadapi sebarang situasi tanpa gangguan.
“Kita sedang membuat persiapan tentang kemungkinan-kemungkinan lain dan setakat hari ini saya berpuas hati lah dengan semua persiapan yang telah kita laksanakan.
“Jadi minggu depan, kita ada ujian amali Sains dan juga diikuti oleh ujian bertutur bahasa Inggeris. Jadi persiapan dalam keadaan sangat baik, Alhamdulillah dan Ops Payung telah pun diaktifkan untuk sebarang kejadian ataupun bencana,” katanya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini di tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir. – MalaysiaGazette