GERIK – Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah jengkaut yang dilaporkan hilang di Kampung Sumpitan, Lenggong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan pada Selasa.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di sekitar Ipoh kira-kira jam 10 pagi.
“Dua lagi suspek masing-masing lelaki berusia 66 dan 29 tahun ditahan di Gerik sekitar jam 4.35 petang.
“Hasil operasi yang dijalankan Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik turut menemukan dan merampas sebuah jengkaut jenis Mitsubishi ES110 serta sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy A07 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai yang mencuri jentera tersebut manakala suspek kedua merupakan pengusaha alat ganti jentera berat.
“Suspek ketiga pula dipercayai diminta membawa jentera berkenaan ke Ipoh menggunakan sebuah lori jenis loader.
“Kesemua suspek kini diserahkan kepada pegawai penyiasat IPD Gerik bagi tindakan serta siasatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga pekerja kilang ditahan disyaki curi bahan produksi bernilai RM355,000


