KPDN gempur rumah simpan, jual LPG tanpa lesen

TELUK INTAN – Sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan penjualan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Langkap, digempur penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan sekitar jam 11.50 pagi itu adalah hasil maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barang kawalan LPG tanpa lesen di premis berkenaan.

Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui sejumlah barang kawalan yang disyaki LPG disimpan di ruangan khas di dalam premis kediaman tersebut.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis kediaman itu memaklumkan bahawa barang kawalan disyaki LPG itu adalah untuk dijual kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemilik kediaman itu gagal mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki barang kawalan disyaki gas petroleum cecair yang ditemui di premisnya.

“Sehubungan itu, tindakan kes telah dilaksanakan dengan menyita sebanyak 37 tong yang berisi gas LPG berjenama dan 33 tong kosong berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 6,550.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual (LPG) tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan lanjut akan dijalankan ke atas syarikat pemborong
barang kawalan LPG ini atas kesalahan menjual barang kawalan kepada
orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sorok 527kg minyak masak paket di premis kediaman

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI