KPDN Perak keluar 10 notis menerusi Ops Kesan

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah mengeluarkan 10 notis pengesahan maklumat barangan menerusi Ops Kesan yang dilancarkan bermula 1 Mac hingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi yang diadakan serentak di seluruh negara itu dilaksanakan susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 8 peratus yang bermula 1 Mac lalu.

Menurut beliau, pemeriksaan melibatkan caj perkhidmatan itu dilakukan di premis yang menjalankan perniagaan di bawah sektor perhotelan, kesihatan, penyedia latihan dan tunjuk ajar di sekitar negeri ini.

“KPDN Perak menyasarkan untuk memeriksa sekurang-kurangnya 30 premis sepanjang operasi yang berlangsung bagi tempoh 1 hingga 10 Mac ini.

“Setakat ini kita sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 10 premis dan memeriksa 30 jenis perkhidmatan barangan.

“Melalui operasi ini kita telah mengeluarkan 10 notis pengesahan maklumat barangan untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu jika kita tidak berpuas hati kita keluarkan notis bertulis yang lebih terperinci dan jika terdapat kesalahan kita akan ambil tindakan,” katanya.

KPDN keluar 10 notis menerusi Ops Kesan
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail (tiga,kanan) melihat pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sultan Yussuf, Nurzara Aisyah Mohd Nasir, 11, dibantu ibunya memilih pakaian persekolahan ketika pelancaran Program Jualan IHSAN RAHMAH ‘Back to School’ di Pasaraya Mydin Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 MAC 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Ihsan Back To School (BTS) Peringkat Negeri Perak di pasar raya Mydin Meru di sini, pada Rabu.

Sementara itu, berhubung Jualan Ihsan Rahmah BTS, Kamalludin berkata program yang dilaksanakan bermula 6 hingga 10 Mac depan dijalankan serentak di 36 pasar raya seluruh Perak melibatkan pasar raya Mydin, AEON, AEON Big, Lotus’s, Econsave, dan Syarikat Sakan Perak.

“Program di bawah inisiatif Payung Rahmah itu menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus meliputi pelbagai keperluan persekolahan, antaranya pakaian seragam, kokurikulum, kasut, alat tulis dan beg dalam usaha meringankan beban ibu bapa menangani kos sara hidup.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu pengguna khususnya di negeri ini mendapatkan barangan keperluan sekolah yang berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sasar 576 Program Jualan Rahmah bagi 2024

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI