TELUK INTAN – Seorang warga emas dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas dipercayai cuba menyeludup 129 liter minyak diesel menggunakan kenderaan pacuan empat roda miliknya, pada Rabu.
Pengarah KPDN Negeri Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki berusia 71 tahun itu dikenakan tindakan susulan Ops Tiris yang KPDN Cawangan Teluk Intan di sebuah stesen minyak di Jalan Changkat Jong, dekat sini, pada jam 8.02 malam.
Katanya, operasi berkenaan berasaskan kepada pemantauan dan pemeriksaan terhadap aktiviti penyelewengan barang kawalan ke atas stesen-stesen minyak di sekitar Teluk Intan.
Ujar beliau, melalui operasi tersebut, pihaknya berjaya mengesan seorang individu yang sedang mengisi diesel ke dalam tong yang berada di atas kenderaan di sebuah stesen minyak.
“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan ke atas individu tersebut, menjumpai sebanyak 129 liter minyak diesel di dalam tujuh tong yang berada di atas kenderaan pacuan empat roda miliknya.
“Seorang lelaki yang mengaku membeli minyak diesel tersebut didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ujar Kamalludin, ekoran itu pihaknya menyita kesemua tong yang berisi bahan api berkenaan bersama kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30,000.
Kata beliau, kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan Lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA) minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.
“KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“KPDN juga memberikan amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan, dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel tanpa permit