MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup 3,500 liter cecair minyak diesel di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar, dekat sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan itu berjaya dikesan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa cawangan Manjung melalui Ops Tiris kira-kira pada jam 9 pagi.
Katanya, operasi itu hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama dua minggu di sekitar Ayer Tawar.
Menurut beliau, seorang pemandu dan pengusaha stesen minyak masing-masing berumur 40-an dan 20-an tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori muatan tiga tan yang telah diubahsuai dengan sambungan paip terus ke tangki yang disembunyikan di atas lori.
“Pengisian dianggarkan adalah sebanyak antara 500 hingga 1,000 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut.
“Siasatan juga mendapati, pemandu kenderaan itu kemudiannya akan menjual minyak diesel ini kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Pantai Remis, pada harga yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambah Kamalludin, semakan awal mendapati syarikat kepada kenderaan lori itu tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.
Menurutnya lagi, selain secair disyaki minyak diesel, lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam, hos telah disita untuk tindakan lanjut dengan kesemuanya dianggarkan berjumlah RM83,125.
“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] KPDN Perak patahkan cubaan seludup 3,500 liter diesel […]
[…] KPDN Perak patahkan cubaan seludup 3,500 liter diesel […]