BAGAN DATUK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan sindiket cubaan penyelewengan 4,415 liter minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Simpang 4, Hutan Melintang, dekat sini, pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu susulan serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Negeri melalui ‘Op Tiris 3.0’ sekitar jam 12.30 tengah hari.
Katanya, operasi berkenaan juga hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama seminggu di sekitar Hutan Melintang.
Menurut beliau, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati sedang berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel dari tangki asal kenderaan yang dipercayai telah diubah suai, ke sebuah tangki gelongsor dengan menggunakan pam penyedut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, cecair yang disyaki minyak diesel, lapan tangki gelongsor, peralatan pam penyedut, tiga lori treler, dan dua lori lima tan telah disita dengan anggaran nilai berjumlah RM1 juta.
“Dua lelaki tempatan berumur 50 dan 61 tahun yang disyaki pemandu dan pengurus premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Stesen minyak yang disyaki bersubahat juga akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti penjara dan denda.
Dalam pada itu, Kamalludin memaklumkan, terdahulu, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan beberapa kelapa treler disyaki telah diubah suai untuk membuat pembelian minyak diesel berulang kali di stesen minyak sekitar Hutan Melintang.
Jelas beliau, minyak diesel yang dibeli itu kemudiannya akan dipindahkan ke tangki gelongsor yang diletakkan di sebuah premis yang disyaki tidak berlesen.
“Sindiket dipercayai kemudiannya akan menjual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.
“Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3.00 hingga RM4.00 per liter, mengikut harga pasaran,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan: