IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, merampas 393 unit sabun pencuci tiruan dianggarkan berjumlah RM7,104.27 dalam dua serbuan di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, rampasan berkenaan dilakukan di dua premis perniagaan di Seri Iskandar di Perak Tengah serta di Taiping.
Menurut beliau, serbuan dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik cap dagang berhubung penjualan sabun pencuci berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 393 unit sabun pencuci yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas semua sabun pencuci terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Sek 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.
Tambah beliau, kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut.
Kamalludin berkata, KPDN juga ingin menegaskan agar peniaga tidak menjual barangan tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019.
“Selain menjaga hak pengguna, KPDN turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.
“Ia bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di Negeri Perak,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: