KPDN Perak serbu stesen minyak jual diesel lebih 2 sen seliter

PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan ke atas sebuah premis didapati menjual minyak diesel melebihi harga kawalan di sebuah stesen minyak mini di Sungai Bakau, di sini, semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Parit Buntar telah menyerbu stesen minyak berkenaan sekitar jam 4.49 susulan satu aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, harga runcit produk petroleum bagi tempoh 22 hingga 28 Ogos bagi diesel ialah RM3.23 seliter, Ron97 (RM3.47), Ron95 (RM2.05) dan diesel (RM2.15) bagi Sabah dan Sarawak.

“Pemeriksaan anggota penguat kuasa ke atas permis berkenaan mendapati harga minyak diesel yang dipaparkan untuk jualan pada pam minyak ialah sebanyak RM3.25 seliter, iaitu melebihi 2 sen dari harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan seliter.

“Susulan pemeriksaan itu, satu tindakan kes telah diambil terhadap pemilik stesen di bawah kesalahan Peraturan 21 (1), Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu telah melanggar syarat lesen runcit dengan menaikkan harga barang kawalan berjadual diesel tanpa kelulusan Pengawal Bekalan Malaysia,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan dokumentasi yang diperolehi dari penyelia premis, stesen minyak berkenaan mempunyai lesen runcit yang masih sah sehingga 21 Februari 2029.

“Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis. Sebanyak 2,100 liter minyak diesel masih dalam stok simpanan stesen berkenaan,“ ujarnya.

Katanya, kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta itu apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pamer harga minyak masak peket RM2.50, jual RM3

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI