IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu lima premis berasingan di sekitar negeri ini yang disyaki melakukan aktiviti menjual dan mengedar alat ganti serta aksesori telefon bimbit jenama tiruan, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang turut disertai bersama wakil pemilik cap dagang itu dilakukan di kawasan Ipoh, Sitiawan dan Taiping.
Katanya, serbuan itu dilakukan hasil aduan dan maklumat wakil pemilik cap dagang yang memaklumkan terdapat aktiviti penjualan alat ganti dan aksesori telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 617 unit alat ganti telefon bimbit dan 518 unit aksesori telefon bimbit.
“Hasil semakan kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurut beliau, wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan.
“Kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan melibatkan lima premis di daerah tersebut dianggarkan bernilai RM26,430,” katanya lagi.
Jelasnya kesalahan dilakukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 iaitu di bawah seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c ) akta sama.
Ujar Kamalludin, jika sabit kesalahan, sekiranya yang terlibat merupakan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
Tambah beliau, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar
“Sekiranya individu terlibat bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,”. – MG Perak
Artikel Berkaitan: