TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 11,500 liter diesel menerusi Ops Tiris di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong di sini, semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 2.40 petang itu dijalankan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tapak pembinaan tersebut telah menemui sebanyak 11,500 liter diesel di dalam sebuah tangki skid.
“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia lokasi pembinaan didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita diesel sebanyak 11,500 liter, sebuah lori, dan sebuah tangki skid dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200,“ katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat siasatan lanjut terhadap sebuah syarikat pembekal yang disyaki beroperasi di Lembah Klang kerana gagal memastikan pihak pembeli mempunyai kebenaran, lesen atau permit barang kawalan sebelum menjalankan transaksi perdagangan minyak diesel tersebut.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana dipercayai melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: